Rekod cemerlang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) musim ini akhirnya tercalar apabila tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, sebentar tadi.
Ia kekalahan pertama Gergasi Merah di gelanggang sendiri selepas memenangi semua 11 aksi di Stadium MBPJ sebelum ini termasuk dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Malah, ia juga kekalahan kedua skuad Nidzam Jamil kepada JDT selepas dua bulan menerima mimpi ngeri di belasah Harimau Selatan 6-1 dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Tambahan tiga mata itu menyaksikan JDT terus mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas dengan mengumpul 34 mata, lapan mata meninggalkan Selangor yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.
Pada aksi sebentar tadi, Selangor yang kehilangan beberapa tonggak utama bermula positif apabila terlebih dahulu menguji kubu JDT pada minit ketiga menerusi percubaan Ali Olwan, namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Namun, selepas itu JDT dilihat lebih banyak mengasak dan berjaya merobek gawang Selangor pada minit ke-30 apabila Romel Morales menanduk masuk bola sepakan percuma Juan Muniz.
Ketika babak pertama berbaki seminit, skuad kendalian Hector Bidoglio menggandakan kedudukan hasil jaringan Bergson Da Silva yang menyempurnakan hantaran lintang Arif Aiman Hanapi.
Sembilan minit selepas bersambung babak kedua, pintu gol Selangor bolos lagi dan kali ini menerusi sepakan penalti Da Silva selepas Mohammad Abualnadi menjatuhkan Arif Aiman.
sumber:- BH
Meskipun kedua-kedua pasukan mencipta beberapa peluang selepas itu, namun tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan sekali gus keputusan 3-0 memihak JDT kekal hingga wisel penamat.