sukan

Selangor sedang buat revolusi bola sepak

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan Selangor FC sedang melakukan revolusi bola sepak bagi skuad Gergasi Merah.

Ia kerana pengendali Selangor, Nidzam Jamil dilihat mengambil langkah berani dengan menurunkan ramai pemain tempatan terutama bakat muda meskipun berdepan perlawanan penting.

Malah, Jamal menjelaskan barisan pemain muda yang diberi peluang itu berjaya membuktikan keupayaan mereka terutama ketika menewaskan kelab Korea Selatan Jeonbuk FC 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Rabu lalu.

Justeru, beliau berkata, kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M) wajar melihat usaha positif yang dilakukan Selangor yang mana langkah itu akan turut memberi keuntungan kepada masa depan skuad kebangsaan.

“Selangor meletakkan ramai pemain muda tempatan semasa lawan kelab Korea baru-baru ini dan mereka buktikan (keupayaan) apabila mereka menang. Maknanya pemain tempatan kita tidak ketandusan bakat.

“Mereka hanya nak kena beri peluang yang secukupnya. Jadi percaya dan yakinlah kepada orang kita, Nidzam berani dan mungkin pengurusan bagi dia 100 peratus kepercayaan untuk meletakkan pemain.

“Dia nampak pemain muda tempatan boleh menyerlah dan dia bagi peluang. Apabila bagi peluang, pemain itu menunjukkan bakat dan keupayaan mereka. Malah, mereka sudah buktikan boleh bermain.

“Kalau nak tengok satu revolusi bola sepak sebenarnya Selangor sedang buat sekarang ini. Jadi kelab lain kena tengok, cuba bagi keyakinan kepada pemain tempatan,” katanya kepada BH Sukan.

Nidzam meletakkan pemain muda Harith Haiqal Adam Afkar, Azim Al Amin Kamaruddin, Quentin Cheng dan Zikri Khalili dalam kesebelasan utama berdepan Jeonbuk.

Malah, Harith Haiqal yang berusia 22 tahun turut diberikan tanggungjawab memakai lilitan kapten dan lebih manis apabila tonggak pertahanan itu menyumbang gol pertama Selangor dalam perlawanan terbabit.

sumber:- BH

Azim pula dilihat seakan sudah menjadi penjaga gawang nombor satu Gergasi Merah apabila kerap diturunkan dalam kesebelasan utama manakala Danial Asri dan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pula masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Jeonbuk.