Kuching City mendaki dua anak tangga untuk berada di kedudukan kelima Liga Super selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City 3-1 meskipun beraksi dengan sembilan pemain pada penghujung perlawanan di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi.
KL City ketinggalan seawal minit pertama apabila tonggak pertahanannya, Giancarlo Gallifuoco tertampan bola masuk ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan tandukan Kipre Tchetche.
Kuching City memasuki bilik persalinan dengan lebih selesa selepas Petrus Shitembi menyudahkan umpanan Tchetche pada masa kecederaan babak pertama.
Tindakan kapten Kuching City, James Okwuosa menyiku Brendan Gan pada minit ke-60 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah dan KL City diberikan sepakan penalti selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Peluang keemasan itu tidak disia-siakan kapten City Boys, Paulo Josue untuk merapatkan kedudukan buat skuad kendalian Miroslav Kuljanac.
Ketika KL City dilihat memiliki peluang cerah untuk terus bangkit, sebaliknya berlaku apabila Kuching City pula dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-68 selepas semakan VAR mendapati Shitembi dikasari pemain City Boys.
Tchetche kembali meletakkan pasukannya dalam kedudukan selesa apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol KL City, Azri Ghani buat kali ketiga.
Namun, 10 minit kemudian giliran, Tchetche pula menjadi mangsa hukuman VAR apabila dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua susulan kekasaran yang dilakukan terhadap Azri.
Meskipun Kuching City beraksi dengan sembilan pemain, kesempatan itu gagal digunakan KL City untuk sekurang-kurangnya bangkit mencuri satu mata.
sumber:- HM
Kuching City kini berkongsi 18 mata bersama pasukan di tangga keempat, Terengganu FC manakala KL City yang mengumpul 14 mata berada di kedudukan kesembilan.