sukan

Aksi paling ‘panas’ musim ini

Mata seluruh peminat bola sepak tanah air akan tertumpu kepada pertembungan dua gergasi, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Menguasai dua kedudukan teratas liga ketika ini, aksi ‘panas’ itu umpama ulangan final Piala FA, 24 Ogos lalu yang mana Selangor berdepan mimpi ngeri apabila dibelasah JDT 1-6 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas dua bulan, kedua-dua pasukan itu akan berentap buat kali kedua musim ini, namun apa yang membezakan perlawanan malam ini adalah tiga mata menjadi buruan Gergasi Merah dan Harimau Selatan.

Berbeza lima mata, Selangor yang berada di tangga kedua liga berpeluang untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu, JDT seandainya berjaya mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan.

Selain tiga mata, rekod juga menjadi antara taruhan utama kedua-dua pasukan dengan Selangor memenangi semua 11 aksi mereka di gelanggang sendiri musim ini termasuk bagi aksi liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Rekod itu membuktikan bahawa Stadium MBPJ memberikan aura luar biasa kepada skuad kendalian Nidzam Jamil yang mana gabungan pemain muda dan berpengalaman akan terus menjadi kekuatan Gergasi Merah untuk berdepan JDT.

“Saya gembira dengan pemain muda tempatan kerana mereka ada pemain senior seperti Ali Olwan dan Noor Al Rawabdeh untuk mereka ikut. Pemain muda kita banyak belajar daripada mereka (pemain senior).

“Kita cuba dapatkan keputusan dan pada masa yang sama kita cuba bangunkan pemain muda kerana mereka adalah masa depan untuk Selangor dan saya harap permainan yang baik dapat ditunjukkan dalam setiap perlawanan,” kata Nidzam.

Meskipun Selangor memiliki rekod cemerlang di halaman sendiri, namun harus diingat bahawa JDT akan hadir ke Stadium MBPJ dengan membawa status atau rekod lebih besar.

Harimau Selatan tidak pernah tewas dalam Liga Super untuk dua musim berturut pada 2022 dan 2023 yang mana kali terakhir JDT mengalami kekalahan dalam liga adalah pada April 2021 apabila tunduk 0-1 kepada Terengganu di halaman sendiri.

Kuala Lumpur (KL) City menjadi pasukan tempatan terakhir yang berjaya mengalahkan JDT selepas merekodkan kemenangan 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia pada November 2021.

Berdasarkan rekod pertemuan antara Selangor dan JDT, ia jelas memihak kepada skuad kendalian Hector Bidoglio yang tidak pernah kalah kepada Gergasi Merah dalam 17 pertembungan terakhir sejak 2017.

sumber:- BH

Justeru, sama ada rekod Selangor atau JDT yang bakal lebur hanya akan terjawab selepas aksi 90 minit di Stadium MBPJ.

Rekod Pertemuan Selangor-JDT

24 Ogos 2024 (Piala FA)

JDT 6 Selangor 1

29 Julai 2023 (Liga Super)

JDT 2 Selangor 0

26 Jun 2023 (Piala FA)

JDT 4 Selangor 0

17 Mac 2023 (Liga Super)

Selangor 0 JDT 4

26 November 2022 (Piala Malaysia)

JDT 2 Selangor 1

3 September 2022 (Liga Super)

Selangor 1 JDT 1

24 Jun 2022 (Liga Super)

JDT 5 Selangor 1

28 Julai 2021 (Liga Super)

Selangor 1 JDT 3

17 Mac 2021 (Liga Super)

JDT 1 Selangor 1

19 September 2020 (Liga Super)

JDT 6 Selangor 1

26 Oktober 2019 (Piala Malaysia)

Selangor 0 JDT 3

19 Oktober 2019 (Piala Malaysia)

JDT 2 Selangor 1

19 Jun 2019 (Liga Super)

JDT 3 Selangor 2

1 Mac 2019 (Liga Super)

Selangor 2 JDT 4

12 Mei 2018 (Liga Super)

Selangor 2 JDT 2