sukan

Video Penjaga gol Penang jaring gol ‘ajaib’ tarik perhatian

Penjaga gol Penang FC II, Muhammad Izzul Azry Abu Mansor mencetus sensasi apabila meledak gol dari jarak jauh ketika aksi Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kelmarin.

Jaringan menarik itu diledak Muhammad Izzul pada minit ke-55 ketika menentang Sri Pahang FC B-23 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dengan aksi itu berkesudahan 2-2.

Dia melakukan sepakan di kawasan penalti sendiri dengan bola itu jatuh dan melantun melepasi jangkauan penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Hanif Faizal sebelum menerjah jaring.

Video jaringan itu turut mendapat perhatian daripada peminat bola sepak tanah air selepas ia dimuat naik Penang FC di laman media sosial mereka, semalam.

Lebih menarik, jaringan Muhammad Izzul itu mengingatkan kembali peminat bola sepak tanah air terhadap gol yang dilakukan penjaga gawang skuad kebangsaan, Syamsuri Mustafa kira-kira 21 tahun lalu.

Syamsuri meledak gol ‘ajaib’ dari situasi sama ketika skuad negara berdepan Vietnam pada separuh akhir Sukan SEA 2003 di Stadium My Dinh, Hanoi.

sumber:- BH

Jaringan yang dihasilkan Syamsuri mencetus fenomena ketika itu dengan ia dianggap gol ajaib kerana jarang berlaku.