Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail mengakui tidak pelik dengan kedudukan Harimau Malaya yang kini berada di tangga ke-133 dunia.
Harimau Malaya jatuh satu anak tangga dalam kemaskini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam susulan kekalahan 0-4 kepada New Zealand, 14 Oktober lalu.
Jamal bagaimanapun menyifatkan kedudukan itu sebagai perkara biasa buat Harimau Malaya berdasarkan kualiti yang ada pada barisan pemain negara.
Justeru, beliau berkata peminat harus menerima hakikat di mana tahap pasukan negara ketika ini dan apa yang paling penting Harimau Malaya perlu berusaha tingkatkan prestasi dalam perlawanan akan datang.
“Kita tak boleh harapkan terlalu tinggi, sekarang kita cuba sebaik mungkin untuk mengharungi setiap perlawanan yang dianjurkan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA dengan pemain yang ada.
“Kalau kata ranking turun atau sebagainya, kita tak boleh buat apa. Letaklah siapa jurulatih atau presiden baharu, tapi kalau kualiti pemain tidak menepati kualiti terbaik di peringkat antarabangsa, susah juga.
“Paling penting peningkatan pasukan dalam setiap perlawanan yang kita main. Peningkatan dari segi permainan dan kita boleh kalahkan pasukan yang bagus.
“Apabila kita boleh kalahkan pasukan yang bagus, maknanya pasukan kita automatik naik. Kalau kita asyik fikir ranking sahaja, kita hanya akan fikir pasukan mana (lemah) kita nak lawan untuk naikkan ranking,” katanya kepada BH Sukan.
Penurunan dalam ranking FIFA menyaksikan Harimau Malaya akan terlepas untuk berada dalam balang satu pada undian bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Ditanya mengenai perkara itu, Jamal menegaskan bahawa skuad negara tidak perlu memikirkan balang mana mereka akan berada, sebaliknya fokus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan untuk menghadapi kempen kelayakan.
Beliau menjelaskan, berada dalam balang satu belum tentu menjamin Harimau Malaya untuk muncul juara kumpulan dan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
“Jangan sibuk mengenai balang satu atau balang mana, sekarang kena persiapkan pasukan, tengok apa kelemahan dan kekuatan kita. Apa guna berada dalam balang satu kalau kita masih kalah.
“Jadi biar berada dalam balang dua sekali pun, kita lawan pasukan yang kuat dan mungkin apabila lawan pasukan kuat, kita akan lakukan persiapan dengan lebih fokus.
sumber:- BH
“Tak apa walaupun sukar, kalau berada balang satu anda ingat anda boleh juara kumpulan? Kalau berada dalam balang satu dan tidak menang dengan pasukan bawah kita, lagi malu,” katanya.