sukan

Liga Super: Sabah mengamuk teruk

Tugas pertama Pengarah Teknikal Penang, Merzagua Abderrazak, menjadi jurulatih sementara dilihat nasib tidak menyebelahinya apabila skuad bimbingannya tewas besar 0-4 kepada Sabah di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Tiga jaringan daripada pasukan pelawat, Sabah, dalam separuh masa pertama memberi tekanan tinggi buat Penang dalam perlawanan minggu ke-14 Liga Super Malaysia di Stadium Bandaraya, ketika ini.

Saddil Ramdani tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama seawal minit kedua dengan melakukan lencongan dari sebelah kanan permainan.

Berselang empat minit kemudian, giliran Gabriel Peres pula menggandakan kelebihan 2-0 buat skuad kendalian Ong Kim Swee apabila sepakan percumanya gagal ditangkap kemas penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel.

Pakar sepakan jarak jauh, Stuart Wilkin, melepaskan roket dari luar kotak penalti untuk memberikan gol ketiga Sabah sebelum tamat babak pertama.

Memasuki 45 minit kedua, aksi berat sebelah itu semakin memihak kepada pasukan Sabah tatkala tidak berhenti melancarkan serangan dahagakan lebih banyak jaringan.

Tanpa disangka-sangka, Dominic Tan meletakkan namanya sebagai penjaring selepas melakukan rembatan jarak jauh yang sekali lagi menghampakan Sikh Izhan untuk gol keempat.

Tamat aksi, Sabah berjaya mengekalkan kecemerlangan dan memanjat tangga ketiga liga selain turut mencatatkan lapan jaringan dalam dua kemenangan.

sumber:- stadium astro

Sementara itu, Penang terus kempunan meraih tiga mata penuh dalam enam perlawanan terakhir dan semakin mendekati kedudukan tiga terakhir liga.