PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mengakui pasukannya kekurangan ‘naluri pembunuh’ ketika diikat Fenerbache kendalian Jose Mourinho 1-1 dalam aksi Liga Europa pada awal pagi Khamis.
Dalam perlawanan itu, Joshua Zirkzee menghantar bola kepada Christian Eriksen yang meledakkan gol pendahuluan United selepas 15 minit dari luar kotak penalti di Istanbul.
Penjaga gol United, Andre Onana membuat dua penyelamatan hebat berturut-turut untuk menepis dua tandukan Youssef En-Nesyri dan melindungi kelebihan mereka pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dipertahankan dalam masa empat minit selepas permainan disambung apabila pertahanan yang cuai membenarkan En-Nesyri menanduk masuk hantaran Allan Saint-Maximin.
Keputusan seri itu menyaksikan United di tempat ke-21 dalam jadual 36 pasukan dan mereka kini telah melalui setahun penuh tanpa memenangi perlawanan Eropah.
“Kami perlu menang dan sekali lagi kami berada dalam kedudukan untuk menang, tetapi kami perlu lebih ‘membunuh’ (menghabiskan perlawanan).
“Kami membiarkan lawan terlepas dengan satu mata,” ujar Ten Hag.
Sementara itu, bekas bos The Red Devils diarah keluar padang kerana terlalu bersemangat memprotes apabila pengadil Perancis, Clement Turpin, menolak rayuan penalti.
“Dia (pengadil) memberitahu saya sesuatu yang luar biasa. Dia boleh melihat tindakan dalam kotak penalti dan tingkah laku saya di tepi padang.
sumber:- SH
“Saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana penglihatan periferalnya sangat luar biasa.“Dia ada satu mata di situasi penalti dan satu mata di bangku simpanan dan melihat tingkah laku saya. Itulah sebabnya dia adalah salah seorang pengadil terbaik di dunia,” ujar Mourinho.