Selangor FC ‘mengganas’ di saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas mengejutkan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors 2-1 pada aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.
Kemenangan ke atas pasukan di ranking ke-27 Asia itu menyaksikan SFC menamatkan rentak dua kemenangan berturut-turut Jeonbuk di ACL2 sekali gus membolehkan skuad bimbingan Nidzam Jamil menjadi pendahulu baharu Kumpulan H selepas tiga perlawanan.
Pelawat tampak lebih banyak menguasai bola namun SFC sentiasa menekan Jeonbuk untuk menutup ruang daripada memasuki kawasan mereka selain SFC begitu berbahaya menerusi situasi bola mati.
Jeonbuk cemas bermula minit ke-11 hingga ke-14 selepas sepakan percuma Yohandry Orozco ditanduk keluar pertahanan Jeonbuk untuk sepakan sudut dan sepakan sudut SFC yang ditanduk kapten, Harith Haiqal Adam Afkar diselamatkan pertahanan Jeonbuk.
Hantaran lintang Quentin Cheng pada minit ke-13 terkena palang sebelum SFC mencatat percubaan tepat pertama menerusi Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-14.
Penjaga gol Jeonbuk, Kim Jeong Hoon menyelamatkan situasi satu lawan satu Ali Olwan pada minit ke-22 namun dia tidak berdaya untuk menutup tampanan Harith Haiqal yang membuka jaringan berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke-31.
Belum pun sempat Jeonbuk ‘bernafas’, mereka melepaskan gol kedua seminit berselang apabila Olwan menebus kekecewaannya dan kali ini dia berjaya menewaskan Jeong Hoon untuk melebarkan jurang kepada 2-0.
Jeonbuk bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit menerusi tandukan Kwong Chang Hoon pada minit ke-31 dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat babak pertama.
‘The Red Giants’ hampir menambah gol ketiga namun percubaan voli Nikoa Jambor hinggap di palang pada minit ke-49 sebelum penjaga gol SFC, Azim Al Amin menyelamatkan tandukan pemain Jeonbuk hasil daripada sepakan sudut pada minit ke-65.
sumber:- BH
Jeong Hoon memastikan mereka mengekalkan defisit satu gol apabila menafikan tandukan Ronnie Fernandez pada minit ke-68 dan meskipun cemas apabila percubaan Jeonbuk terkena tiang di hujung permainan, tiga mata tetap menjadi milik tuan rumah.