sukan

TERKINI: Keputusan aksi JDT berdepan Gwangju FC di ACLE

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini apabila tewas 1-3 kepada kelab Korea Selatan, Gwangju FC di Stadium Yongin Mireu, sebentar tadi.

Kekalahan ini mengecewakan penyokong Harimau Selatan yang sebelum ini menyaksikan pasukan mereka mencatat satu seri dan satu kemenangan.

Gol pembukaan tuan rumah dihasilkan oleh penyerang, Jasir Asani, yang menyudahkan peluang seawal minit ketiga.

Hanya tiga minit kemudian, Asani sekali lagi menghukum JDT selepas pertahanan, Feroz Baharudin, melakukan kesilapan.Pemain kebangsaan Albania itu berjaya merampas bola dan melakukan larian solo sebelum menewaskan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, dengan rembatan leret.

JDT tidak berputus asa dan Feroz menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol pada minit ke-28 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Juan Muniz, menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, JDT yang lebih menguasai permainan gagal menyamakan kedudukan walaupun mencipta beberapa peluang, termasuk percubaan Arif Aiman Hanapi dan Muniz pada minit ke-78 yang tidak tepat.

Harimau Selatan dirundung kekecewaan apabila gawang mereka bolos buat kali ketiga, gol tercipta dua minit sebelum perlawanan tamat apabila tandukan Heo Yool terkena kaki pertahanan Park Jun Heong sebelum menerjah jaring.

sumber:- HM

Kekalahan ini memaksa anak buah Hector Bidoglio akur dan mereka kini perlu bangkit dalam perlawanan akan datang.Gwangju FC kini mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Zon Timur dengan sembilan mata, sementara JDT kekal dengan empat mata.