sukan

Kim Do-heon dilihat ‘bermain’ psikologi

Pengendali Jeonbuk Hyundai dari Korea Selatan, Kim Do-heon dilihat ‘bermain’ psikologi apabila menyifatkan gandingan penyerang Selangor FC mampu menggugat pasukannya dalam aksi ketiga Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Katanya, empat import Red Giants yang diketuai penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez; pemain sayap lincah kelahiran Belanda, Alvin Fortes; pemain tengah dari Venezuela, Yohandry Orozco dan tonggak kebangsaan Jordan, Ali Olwan cukup berbahaya.

“Kita tahu Selangor memiliki pemain import berkualiti. Pemain antarabangsa Jordan (Ali), penyerang (Fernandez), seorang lagi dari Venezuela (Orozco) dan pemain yang beraksi di sebelah kanan (Fortes) pernah beraksi untuk Feyenoord di Belanda.

“Mereka memiliki kualiti dan perwatakan tersendiri. Mereka mampu memberi tekanan terutama di bahagian hadapan dan sayap serta dari bahagian belakang.

“Saya tahu Selangor kerap bersaing dengan Johor (Darul Ta’zim) dalam Liga Malaysia (Liga M). Saya tahu mereka memiliki kualiti,” katanya dalam sidang media praperlawanan, hari ini.

Berdasarkan dua aksi dilalui sebelum ini, anak buah Do-heon dijangka tidak berdepan masalah besar untuk melakar kemenangan di Kelana Jaya, malam esok, sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan H.

Jeonbuk Hyundai yang pernah muncul juara ACL sebanyak dua kali pada 2006 dan 2016 itu sebelum ini mudah meratah kelab Filipina, Cebu FC 6-0 dan menewaskan Muangthong United dari Thailand 4-1, untuk mengumpul enam mata maksimum daripada dua aksi dilalui.

sumber:- HM

Selangor pula agak bergelut apabila sekadar terikat 1-1 dengan Muangthong United dan menang tipis 1-0 ke atas Cebu FC untuk meraih empat mata dan berada di tangga kedua kumpulan.