sukan

Bukan lagi eksperimen

Aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 membabitkan Harimau Malaya menentang India, bulan depan bukan lagi menjadi medan eksperimen buat barisan kejurulatihan untuk memilih pemain.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, eksperimen atau medan pemilihan pemain sepatutnya dilakukan ketika menentang New Zealand tempoh hari dalam usaha mencari kesebelasan terbaik sebagai persiapan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, tahun depan.

Beliau berkata, skuad Harimau Malaya perlu mencari keserasian di antara pemain selain memilih tonggak terbaik bagi menyarung jersi kebangsaan kelak.

“Lawan India bukan masanya nak uji pemain atau lihat kebolehan mereka. Barisan kejurulatihan perlu senaraikan pemain terbaik yang mungkin akan beraksi pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

“Pada aksi menentang New Zealand tempoh hari mungkin barisan kejurulatihan sudah ada bayangan pemain yang harus dikekalkan dalam pasukan.

“Jika mahu memanggil pemain baru kena pastikan individu itu mampu memberi impak positif atau berguna untuk pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad negara mempunyai tiga peluang perlawanan persahabatan untuk memperbaiki ranking sebelum undian kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.

sumber:- HM

Skuad kendalian Pau Marti Vicente akan menentang India pada 19 November manakala satu lagi pasukan akan ditentukan kelak.