sukan

Komen Arteta selepas Arsenal alami kekalahan mengejut

Mikel Arteta mengakui kekalahan mengejut 2-0 Arsenal di Bournemouth satu “kemalangan yang menanti untuk berlaku” ketika kad merah William Saliba menyaksikan mereka tumpas aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak April.

Kelab memburu kejuaraan kendalian Arteta beraksi selama sejam dengan 10 pemain apabila pertahanan Perancis, Saliba dibuang padang kerana kekasaran profesional ke atas Evanilson.

Pengadil Robert Jones pada mulanya melayangkan kad kuning kepada Saliba tetapi hukuman itu ditukar kepada merah selepas semakan VAR.

Ia kali ketiga pemain Arsenal dibuang padang dalam liga musim ini selepas Declan Rice menerima kad merah menentang Brighton dan Leandro Trossard dibuang padang di Manchester City.

Arteta mengakui masalah disiplin menjadikannya sukar untuk menang, dengan Arsenal hanya meraih dua mata daripada tiga perlawanan ketika beraksi dengan 10 pemain.

“Ia amar sukar untuk menang dalam EPL dengan 10 pemain bagi tempoh 60 minit. Ia hanya satu kemalangan yang menanti untuk berlaku. Kami terpaksa mengharunginya dalam tiga perlawanan dan ia menyebabkan kami kalah,” katanya.

“Kami mempunyai peluang besar dan detik terbaik dalam perlawanan untuk menjaringkan gol dan meraih keputusan berbeza tetapi kemudian kami melepaskan satu gol.

“Kami cuba berpegang kepada peraturan. Tiga kad merah semuanya berbeza dan tiga keputusan yang amat berbeza.”

Tunduk dalam liga buat kali pertama sejak kemenangan 2-0 Aston Villa di Stadium Emirates musim lalu, kekalahan menyaksikan Arsenal mensia-siakan peluang untuk merampas tangga teratas liga daripada Liverpool.

Arteta menyedari pasukan tangga ketiga itu jauh di bawah tahap sebenar mereka di Stadium Vitality.

sumber:- BH

“Pasukan ini mencuba, usaha dengan 10 pemain amat fantastik tetapi hari ini ia tidak cukup untuk memenangi perlawanan,” katanya. – AFP