Jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain terharu susulan ‘hadiah’ tiga mata diberikan pemainnya selepas menewaskan Terengganu FC 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Kemenangan itu hadir selepas Sang Kenari gagal mengutip mata penuh dan seri tiga kali berturut-turut di laman sendiri sebelum ini.
Menurut Nafuzi, skuadnya turun dengan latihan yang tidak seberapa ketika mereka berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai.
“Bagi kemenangan malam ini, tiada ungkapan yang dapat saya berikan kepada pemain dengan apa yang mereka berikan bekerja keras sepenuh tenaga sepanjang 90 minit perlawanan.
“Walaupun kini kami berada dalam keadaan amat sukar dan dengan persediaan latihan yang tidak begitu sempurna, namun di sebalik semua itu dengan tiga mata yang mereka berikan ini saya mahu berikan jutaan penghargaan kepada mereka.
“Saya cukup terharu dan berbangga kerana untuk saya balas pengorbanan mereka saya rasa tidak mampu. Apa yang mereka lalui dalam pasukan adalah perkara yang cukup susah ketika ini dan membuatkan saya terharu dan juga sedih kerana di sebalik semua itu mereka masih hadir dengan semangat juang tinggi,” katanya yang juga bekas pengendali TFC kepada wartawan selepas perlawanan malam tadi.
Sementara itu, jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali kecewa apabila skuadnya gagal meraih sebarang mata untuk dibawa pulang ke Kuala Terengganu.
Menerusi penampilan ketiganya sebagai pengendali bersama pembantunya, Hairuddin Omar, Badrul Afzan seolah-olah masih mencari rentak untuk kembali bangkit selepas turut keciciran mata apabila seri 1-1 dengan PDRM FC pada 4 Oktober lalu di laman sendiri.
sumber:- BH
“Secara keseluruhan pemain sudah memberikan aksi terbaik mereka tetapi disebabkan faktor kelekaan dari segi sepakan bola mati menyebabkan kami dibolosi pada babak pertama.”