: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah kecewa selepas anak buahnya tewas 4-2 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perbandaran Manjung petang tadi.
Yusri mengakui Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee tampil lebih baik berbanding pasukan tuan rumah.
Yusri tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila Perak gagal mengutip sebarang mata walaupun menang tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.
“Walaupun kami menjaringkan dua gol, dibolosi empat kali cukup mengecewakan, dan pemain-pemain perlu bertanggungjawab. Tidak ada alasan selain kami perlu menilai kembali di mana kesilapannya.
“Mungkin pemain-pemain saya kecewa ketika sepakan sudut atau lontaran ke dalam oleh pemain-pemain Sabah yang mempunyai ketinggian, sekali gus menambah tekanan dalam situasi itu,” kata Yusri.
Menurut Yusri, pemain-pemain Sabah mampu mengawal bola dan melancarkan serangan berkesan, terutama ketika lawan melakukan kesilapan.
“Jika kami melakukan kesilapan, begitu mudah kami dihukum, dan itu yang berlaku di 10 minit terakhir apabila mereka menjaringkan gol ketiga mereka,” katanya.
Sementara itu Kim Swee memuji semangat juang anak buahnya yang mengutip tiga mata di Manjung.
“Percaya diri dan kepada rakan sepasukan adalah kunci kemenangan Sabah ke atas Perak. Mereka cukup yakin dan tidak pernah berputus asa sehingga wisel penamat.
“Bagaimanapun kemenangan ke atas Perak bukan mudah, pemain-pemain perlu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Manjung, ia berbeza dengan Kota Kinabalu, dan beberapa pemain masih cedera,” kata Kim Swee.
sumber:- BH
Sabah kini menghuni tangga keempat liga, di belakang Terengganu FC, dengan 17 mata daripada 11 perlawanan. – BERNAMA