sukan

Keputusan Aksi Malaysia berdepan New Zealand

Skuad remaja negara terpaksa berputih mata apabila memulakan kempen Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 selepas tewas tipis 3-2 kepada New Zealand pada aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini, sebentar tadi.

Walaupun pada aksi pemanas badan sebelum saingan bermula skuad bimbingan I Vickneswaran melakar kemenangan 2-1, pada aksi sebenar pasukan yang digelar Young Tigers itu mendapat tentangan sengit anak didik Aaron Ford.

Seawal minit keempat gawang Young Tigers bolos selepas Jonty Elmes mudah menyudahkan pukulan sudut penalti dengan memukul tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani.

Sebaik suku kedua bermula, anak didik Vickneswaran bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-16 selepas Mohd Harris Iskandar Osman tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti untuk menewaskan penjaga gol, Matthew Ruetsch.

Pada suku ketiga, Young Tigers hampir menambah jaringan pada minit ke-35 namun bola tolakan menerusi pukulan sudut penalti Mohd Harris hanya sipi di sebelah kanan gawang New Zealand.

Malang buat barisan muda negara yang beraksi konsisten sepanjang babak kedua terpaksa ketinggalan buat kali kedua selepas pengadil dari Scotland, Jamie Telfer menghadiahkan penalti dan Elmes mudah menyempurnakannya untuk meletakkan New Zealand 2-1 di depan.

Namun Young Tigers tidak berputus asa apabila bangkit sekali lagi menyamakan jaringan pada minit ke-55 selepas tindakan berani Muhammad Adam Ashraf Mohd Johan yang menyusup masuk ke dalam kawasan D sebelum menolak bola di celah kaki Ruetsch.

Tapi kedudukan 2-2 itu tidak bertahan lama apabila anak didik Ford kembali berada di hadapan selepas Gus Nelson berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-56 dan kedudukan 3-2 yang memihak anak didik Ford kekal sehinggga tamat perlawanan.

sumber:- BH

Terdahulu, juara 2013 dan 2014, India kendalian Sreejesh Parattu Raveendran menepati ramalan untuk menewaskan Jepun 4-2.Sementara itu, naib juara 2023, Australia terpaksa akur dengan kehebatan Britain selepas tumpas 3-1.