Aksi persahabatan antarabangsa menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland, Isnin lalu menyerlahkan kelemahan sebenar skuad Harimau Malaya.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan tahap kecergasan, ketangkasan dan skil menjadi kelemahan utama anak buah Pau Marti Vicente hingga mereka terpaksa akur tewas 0-4 kepada pasukan di ranking 95 dunia itu.
Malah, Azlan menganggap tiga elemen penting itu yang dimiliki barisan pemain Harimau Malaya ketika ini belum cukup untuk bersaing dengan pasukan hebat di peringkat antarabangsa yang membabitkan aksi berintensiti tinggi.
Katanya, kekalahan itu bakal meletakkan Harimau Malaya dalam kesukaran untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik bagi undian kelayakan Piala Asia 2027.
“Kita hanya mampu main 45 minit. Pandangan saya, kalau nak main bertahan atau menyerang, itu ikut cerdik kita. Namun, jika nak main bertahan, pastikan kita bertahan selama 90 minit dan andai kita nak main menyerang kemudian bertahan, pastikan benda itu pun boleh selama 90 minit.
“New Zealand bukan calang-calang pasukan, kemampuan mereka jauh lebih baik dari kita. Jadi nak lawan mereka kena buat persiapan betul-betul. Kita nak main dengan pasukan 95 dunia supaya nak naikkan ranking, tapi akhirnya ranking kita jatuh.
“Skil asas pun kita sudah tewas dengan New Zealand, ketangkasan kita ‘out’ dan kemampuan stamina serta kekuatan fizikal kurang. Apabila kecergasan yang diperlukan untuk tahap antarabangsa tak cukup, itu yang menyebabkan kita banyak buat kesilapan.
“Bagi bola sepak, satu perkataan yang kita mesti ada iaitu pantas dalam setiap segi termasuk larian, hantaran, menerima hantaran dan pemikiran untuk gerakan seterusnya selepas menerima hantaran.
“Kita bernasib baik sebab pada babak pertama kita masih ada kekuatan fizikal untuk menyelamatkan percubaan New Zealand. Tetapi sampai bila boleh tahan, Syihan (penjaga gol Malaysia) pun sudah tak larat nak terbang,” katanya kepada BH Sukan.
Harimau Malaya seterusnya akan menentang pasukan ranking 126 dunia, India di gelanggang lawan pada 19 November depan dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Kekalahan kepada New Zealand meletakkan Harimau Malaya dalam situasi amat sukar untuk berada dalam Balang 1 bagi undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 meskipun jika berjaya mengalahkan India.
Peluang untuk memintas India sangat tipis selepas negara itu berjaya mengutip mata ranking FIFA hasil keputusan seri 1-1 menentang Vietnam.
Berdasarkan kedudukan tidak rasmi ranking FIFA, ketika ini Malaysia dan India dipisahkan 19.87 mata selepas Harimau Malaya kehilangan 3.72 mata dengan mengumpul 1,113.92 mata ranking FIFA.
Selain itu, Azlan berpendapat bahawa Harimau Malaya memerlukan persiapan yang lebih panjang untuk memberi ruang kepada barisan kejurulatihan mempersiapkan pasukan lebih mantap terutama menjelang kelayakan Piala Asia, Mac tahun depan.
Beliau berkata, rata-rata kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak menyediakan latihan berintensiti tinggi yang mencapai tahap bagi menghadapi aksi antarabangsa.
“Kalau nak harapkan pemain datang semasa melaporkan diri berada pada tahap kecergasan terbaik tak mungkin terjadi kerana persiapan mereka untuk main dalam liga jauh ketinggalan untuk main di peringkat antarabangsa.
“Jadi kita perlukan latihan yang panjang untuk jurulatih menilai tahap kecergasan pemain yang datang melaporkan diri supaya dia dapat tingkatkan kecergasan sebelum merancang taktikal dan sebagainya.
sumber:- BH
“Pemain yang bakal mewakili negara juga mereka kena buat banyak latihan tambahan supaya tidak dimalukan pasukan lawan,” katanya.