Pemain beregu negara, Aaron Tai menyifatkan kejayaan menyertai senarai ‘elit’ juara remaja dunia bagaikan mimpi jadi kenyataan terutama selepas kecundang di pentas final edisi tahun lalu.
Aaron bersama pasangannya, Kang Khai Xing dinobatkan juara remaja dunia selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-18, 15-21, 21-18 pada aksi final menghiburkan di Nanchang, China semalam.
Kejayaan Aaroi-Khai Xin yang turut menyaksikan lagu Negaraku berkumandang megah di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang selain mengubat sedikit duka selepas beregu wanita negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi tewas di pentas final dalam aksi lebih awal.
“Perasaan amat gembira dan saya hanya mahu pulang ke Malaysia dan menikmati makanan yang ada dan berjumpa keluarga.”Ini adalah cubaan kedua saya jadi ia boleh dikatakan seperti mimpi jadi kenyataan,” kata Aaron dari Melaka ketika temuramah bersama BWF.
Diletakkan sebagai pilihan pertama, Aaroi-Khai Xing jelas berdepan tugas cukup sukar berikutan sokongan padu ribuan peminat tuan rumah.
Malah ketika mengulas permainan yang ditampilkan, Khai Xing mengakui persembahan mereka sedikit ‘goyah’ terutama selepas tewas pada set kedua.
“Kami memperlahankan sedikit permainan pada set kedua dan cuba bangkit pada set ketiga.
“Pada set penentuan, kami hanya cuba fokus mata ke mata dan cuba untuk tidak mengalah,” kata Khai Xing dari Kelantan.
sumber:- BH
Kali terakhir Malaysia mempunyai juara remaja dunia dalam acara beregu lelaki adalah pada 2011 menerusi pasangan Nelson Heg-Teo Ee Yi dan secara keseluruhan, lapan juara remaja dunia sudah dilahirkan dalam acara berkenaan termasuk Aaron dan Khai Xing.