Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menunjukkan semangat juang tinggi untuk tidak membenarkan beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang mudah ‘meratah’ mereka di suku akhir Terbuka Artik di Vantaa, Finland, malam tadi.
Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking ke-13 dunia memulakan langkah di Vantaan Energia Areena dengan langkah kiri apabila tewas 17-21 di set pertama.
Begitupun, Wei Chong-Kai Wun yang muncul naib juara di Terbuka Indonesia, Jun lalu, menunjukkan kebangkitan apabila menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 itu 21-16 di set kedua.
Keputusan itu sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan yang berlangsung sengit dengan kedua-dua beregu saling bertukar mata.
Namun pengalaman jelas memihak kepada beregu China itu apabila menewaskan Wei Chong-Kai Wun 21-17 sekali gus merekodkan kemenangan kelima mereka dalam lima pertemuan.
Di separuh akhir esok, Wei Keng-Chang dijadual bertemu beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang sebelum itu menewaskan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, 23-21, 19-21, 22-20.
sumber:- BH
Turut melangkah mara ke separuh akhir adalah Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie selepas beregu campuran profesional negara itu meraih kemenangan 21-19, 21-15 ke atas gandingan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di suku akhir.