sukan

Tak perlu risau aksi Harimau Malaya berdepan kelab ‘tujuh bulan’

Di sebalik keputusan seri 1-1 menentang pasukan bertaraf kelab, Auckland FC namun tiada apa yang perlu dirisaukan oleh skuad Harimau Malaya sebagai persiapan bagi aksi Tier 1 menentang New Zealand, Isnin ini.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan aksi secara tertutup itu boleh dianggap sebagai perlawanan pemanas badan walaupun berkemungkinan ia tidak dapat menguji kemampuan anak buah Pau Marti Vicente secara maksimum.

Malah, Irfan turut melihat aksi menentang pasukan yang baru ditubuhkan tujuh bulan lalu itu sebagai peluang terbaik buat Vicente mencari ‘ramuan’ terbaik sebelum berdepan cabaran pasukan di ranking ke-95 dunia itu.

“Kalau setakat untuk memanaskan badan, saya rasa tiada masalah (seri 1-1) kerana bagus juga ada perlawanan persediaan sebelum turun berdepan pasukan yang kuat seperti New Zealand.

“Cuma menentang pasukan kelab, mungkin kurang sedikitlah (cabaran) kerana sepatutnya kita kena cuba dapatkan juga aksi menentang pasukan negara. Tetapi kita tiada pilihan, jadi pasukan negara perlu lawan juga pasukan kelab.

“Mungkin ini tidak memberikan ujian yang sengit tetapi setidak-tidaknya memberi peluang kepada barisan kejurulatihan untuk membentuk keserasian dan mencari strategi terbaik bagi menentang New Zealand nanti.

“Jadi berbekalkan persediaan itu, saya harap pasukan negara dapat memberikan persembahan yang terbaik bagi mendapatkan mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” kata Irfan.

Terdahulu, skuad kebangsaan terikat 1-1 dengan kelab New Zealand, Auckland FC dalam aksi antarabangsa Tier 2 di Stadium Go Media, Auckland, semalam.

Skuad negara yang menghuni ranking ke-132 dunia ketinggalan terlebih dahulu selepas Francis de Vries meledak gol pembukaan Auckland FC pada minit ke-25 sebelum Nooa Laine menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

sumber:- BH

Vicente menganggap perlawanan itu sebagai ujian terbaik buat pasukannya sebelum menghadapi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand Stadium North Harbour, Isnin ini.