Beregu negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing berpeluang menamatkan penantian Malaysia untuk kembali memiliki juara remaja dunia dalam acara beregu lelaki selepas menempah tiket final di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan utama, Aaron-Khai Xing menepati ramalan menewaskan pilihan keempat kejohanan dari China, Chen Yong Rui-Chen Zhe Han pada aksi separuh akhir, hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang itu, Aaron-Khai Xing memperoleh permulaan baik apabila melakar kemenangan 21-18 sebelum tewas 10-21 di set kedua yang mengheret perlawanan ke set penentuan.
Namun, Aaron-Khai Xing kembali bangkit dengan mencipta kemenangan 21-15 pada set penentuan.”Selepas kekalahan itu, kami cuba berkomunikasi dengan lebih baik dan cuba menenangkan diri kami. Kami juga menukar corak permainan dan bermain lebih kepada taktik menyerang dan ia berhasil,” kata Khai Xing ketika mengulas perlawanan itu ketika ditemuramah BWF.
sumber: BH
Menanti Aaron-Khai Xing di pentas final esok adalah pilihan kedua dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dengan pasangan negara mempunyai kelebihan selepas meraih dua kemenangan dan satu kekalahan.