Jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen mengakui beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih belum menemui rentak apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua Terbuka Artik di Vantaa, Finland semalam.
Bin Shen mengakui Aaron-Wooi Yik masih belum dapat menguasai sepenuhnya penguasaan gelanggang dan perkara itu menyebabkan mereka tunduk mudah kepada pasangan yang berada di ranking 16 dunia dari England, Ben Lane-Sean Vendy 13-21,8-21 dalam tempoh 31 minit.
“Mereka sudah lama tak bermain dalam kejohanan. Belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana dalam pertandingan. Kami akan bincang dan analisa perlawanan semalam dan harap untuk kejohanan seterusnya akan jadi lebih baik lagi,” katanya.
Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan berstatus Super 500 Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Aaron-Wooi Yik tidak mampu mengekang setiap asakan Lane-Vendy yang cukup tangkas menguasai gelanggang untuk merakamkan kemenangan.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Lane-Vendy berjaya merekodkan kemenangan kedua mengatasi Aaron-Wooi dalam enam pertemuan sebelum ini.
Kejohanan Terbuka Artik itu dianggap aksi pemanas badan buat pasangan nombor lima dunia berkenaan sebelum turun dengan misi mempertahankan gelaran juara di Terbuka Denmark minggu depan.
Terdahulu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu tidak menyertai mana-mana pertandingan selepas pulang dari Paris. Ia kerana Wooi Yik yang juga bekas juara dunia mengalami kecederaan retak jari kaki ketika beraksi di separuh akhir Olimpik Paris menentang jaguh China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik sekadar menamatkan kejohanan Terbuka Artik tahun lalu di pusingan pertama selepas tewas 11-21, 18-21 kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
sumber:- HM
Bagaimanapun, mereka melakukan kebangkitan apabila merangkul kejuaraan pada kejohanan berikutnya dengan memenangi Terbuka Denmark selepas menang 21-13, 21-17 ke atas beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada aksi final.