Bukan sekadar dihalau dari rumah sewa dan kereta ditarik pihak bank, malah difahamkan ada pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sedang diuji masalah rumah tangga ekoran ketiadaan gaji sejak awal tahun ini.
Menurut sumber, ada pemain KDA FC yang cukup tertekan selepas sering bergaduh dengan isteri kerana tiada wang perbelanjaan bagi membeli kelengkapan rumah selain menguruskan keperluan anak-anak.
“Ada pemain yang mula buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan keluarga buat sementara waktu ini. Paling sedih apabila ada yang bergaduh suami isteri setiap hari pasal isu duit.
“Pemain itu pula serabut memikirkan hal rumah tangga. Itu belum lagi, ada pemain yang kena halau dari rumah sewa dan juga kereta yang kena tarik,” kata sumber itu.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan nasib KDA FC boleh dikatakan hanya tunggu masa untuk ‘berkubur’ apabila dikatakan hutang yang terpaksa di tanggung mencecah RM10 juta.
Jumlah berkenaan yang boleh dikatakan agak besar berdasarkan kepada tanggungan tunggakan gaji sejak Februari lalu termasuklah beberapa bayaran lain yang gagal disempurnakan pasukan itu.
Menurut sumber dalaman pasukan itu, ketika ini kantung KDA FC boleh dikatakan kering dan hanya mengharapkan ‘ihsan’ pemain untuk beraksi bersama pasukan terbabit.
sumber:- HM
Mengikut rekod, selain KDA FC terdapat beberapa pasukan Liga Super turut terpalit tunggakan gaji antaranya Kuala Lumpur City (KL City) FC.