Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei menegaskan tidak mahu terburu-buru dalam proses pemulihan susulan kecederaan ngeri ketika latihan di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM), bulan lalu.
Ee Wei yang menghuni ranking ke-9 dunia bersama gandingannya, Chen Tang Jie seperti dijangka terlepas aksi di Terbuka Artik yang bermula hari ini dan selain Terbuka Denmark yang dijadual 15 Oktober ini.
Terpaksa menerima 16 jahitan di bahagian lengan kiri susulan kecederaan yang dihadapinya, Ee Wei ketika ditemui di ABM hari ini menjelaskan sudah menjalani latihan sejak minggu lalu selepas lima hari bercuti.
“Masih ada rasa sakit ketika ini tetapi tidak apa-apa. Pergerakan masih terbatas sekalipun selepas balutan dibuka pada minggu lalu tetapi segalanya berjalan dengan baik.
“Ketika ini, latihan belum dilakukan secara 100 peratus kerana bimbang terjatuh dan luka akan terbuka,” kata Ee Wei.
Mengulas lanjut, Ee Wei berkata dia masih belum mempunyai tarikh bila akan kembali beraksi secara kompetitif tetapi berharap masih dapat beraksi dalam beberapa kejohanan dalam usaha mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China Disember ini.
sumber:- BH
“Sebenarnya ini kali pertama saya dan Tang Jie terlepas dua kejohanan dan ia perkara yang baharu bagi kami tetapi kami perlu menghadapinya dan bergerak ke depan,” katanya.