Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya tidak lokek apabila sedia untuk membayar gaji walaupun RM200,000 sebulan bagi mendapatkan jurulatih yang benar-benar mampu membawa skuad Harimau Malaya ‘terbang’ lebih jauh selepas ini.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, soal gaji langsung tidak memberikan sebarang masalah untuk badan induk itu kerana lebih penting adalah jurulatih terbabit dapat memenuhi sasaran khususnya dalam mengangkat bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.
“Bukan soal gaji kerana kita mahukan jurulatih yang boleh membawa kita ke satu tahap yang lain. Kalau kita ada (jurulatih) gaji RM100,000 sebulan tetapi tak boleh ke mana, baik kita bayar gaji RM200,000 sebulan tetapi boleh bawa kita (pergi) jauh.
“Kadangkala kita kena berbelanja juga untuk skuad kebangsaan, kita pun lihat beberapa (jurulatih) tunjukkan minat untuk membantu pasukan negara jadi kita perlu bersedia.
“Mahu atau tak mahu, kita kena juga berbelanja untuk mendapatkan keputusan yang baik,” kata Yusoff.
Terdahulu, nama bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo berada dalam radar badan induk itu namun mereka perlu bersedia untuk membayar lebih dua kali ganda daripada gaji bekas pengendali, Kim Pan Gon jika mereka benar-benar berhasrat untuk ‘meminang’ Hang Seo.
Ini kerana gaji Hang Seo lebih tinggi daripada gaji Pan Gon di mana badan induk itu sebelum ini membayar Pan Gon gaji di bawah AS$20,000 (RM87,000) sebulan kepada pengendali yang kini sudah bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai itu.
Memetik laporan portal Vietnam, VN Ekspress, Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dilaporkan membayar gaji Hang Seo sebanyak RM218,000 sebulan dengan Hang Seo mengendalikan pasukan itu bagi tempoh lima tahun setengah.
Dalam perkembangan sama, Yusoff mengesahkan FAM belum lagi berhubung untuk mendapatkan Hang Seo dan kini membuka peluang kepada pengendali sedia ada, Pau Marti Vicente untuk membuktikan kredibilitinya sehingga hujung tahun ini.
“Kita belum bergerak ke arah itu dan kita tengok apa faktor yang sesuai untuk kita. Kita tak boleh cakap yang kita nak (Hang Seo) sedangkan Pau Marti ada dalam pasukan ketika ini.
sumber:- BH
“Jadi kita tunggu sehingga hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan apa pilihan terbaik. Pau Marti mendapat peluangnya (kendalikan skuad kebangsaan) jadi gunakan peluang itu sebaiknya,” katanya.