Wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) menghuni kedudukan kesembilan bagi nilai pasaran tertinggi daripada 12 pasukan Zon Timur yang berentap dalam kancah bola sepak tertinggi Asia itu.
Berdasarkan nilai pasaran sebanyak RM50.94 juta seperti dilaporkan laman sesawang transfermarkt.com, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu berada pada kedudukan ke-18 daripada semua 24 pasukan yang bertanding membabitkan Zon Timur dan Zon Barat.
Pasukan yang mengikat JDT 2-2 yang juga juara Liga Super China (CSL) musim lalu, Shanghai Port menjadi pasukan dengan nilai pasaran tertinggi bagi Zon Timur dengan nilai sebanyak RM86.97 juta.
Naib juara Liga Jepun, Yokohama F Marinos mengekori rapat dengan nilai RM82.55 juta disusuli wakil Korea Selatan, Ulsan HD dengan RM78.55 juta serta juara Liga Jepun, Vissel Kobe dianggarkan bernilai RM77.04 juta.
Kawasaki Frontale dan Shandong Taishan masing-masing bernilai RM75.4 juta dan RM62.23 juta dan satu lagi wakil ASEAN, Buriram United berada di tangga ketujuh dengan nilai RM56.58 juta.
Shanghai Shenhua yang kecundang 0-3 di tangan JDT berada satu anak tangga di atas JDT dengan nilai RM54 juta dan menariknya, pendahulu Zon Timur, Gwangju FC berada di tangga ke-10 dengan anggaran nilai RM49.15 juta.
Dua lagi pasukan iaitu Pohang Steelers bernilai RM44.59 juta manakala wakil dari Australia, Central Coast Mariners sekadar RM25.63 juta.
Secara keseluruhan, tiga kelab teratas dengan nilai pasaran tertinggi di ACLE di dominasi oleh pasukan dari Liga Pro Saudi dengan kehadiran bintang berkelas dunia iaitu Al-Hilal, Al-Nassr dan Al-Ahli.
Al-Hilal yang dibarisi pemain seperti Kalidou Koulibaly, Joao Cancelo dan Ruben Neves menjadi satu-satunya pasukan dengan nilai RM1 bilion apabila pasukan itu dianggarkan memiliki nilai pasaran sebanyak RM1.46 bilion.
sumber:- BH
Al-Nassr yang diperkuat Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan Aymeric Laporte pula memiliki nilai pasaran sebanyak RM896 juta manakala Ah-Ahli dengan pemain seperti Riyad Mahrez, Roberto Firmino dan Edouard Mendy bernilai RM834.65 juta.