sukan

Hilangnya permata bola sepak Dunia

Bekas perancang Barcelona dan Sepanyol, Andres Iniesta mengumumkan persaraannya hari ini selepas karier penuh gemilang selama 24 tahun.

Iniesta, 40, adalah arkitek kejayaan Sepanyol dan Barcelona sebelum mengakhiri kariernya bersama Emirates Club di Emiriah Arab Bersatu.

“Benarkan saya untuk menjadi sedikit emosi hari ini. Saya tidak pernah terfikir yang hari ini akan tiba. Tidak pernah saya bayangkan.

“Air mata yang gugur hari ini adalah air mata penuh emosi, kebanggaan. Ia bukan air mata kesedihan.”Ia adalah air mata seorang budak lelaki dari bandar kecil seperti Fuentealbilla, yang mempunyai impian menjadi seorang pemain bola sepak dan ia dicapai selepas kerja keras, pengorbanan… tidak pernah berputus asa, nilai-nilai penting dalam hidup saya.

“Saya sangat bangga dengan perjalanan ini, bersama mereka yang menemani saya,” kata Iniesta.

Iniesta membuat 131 penampilan untuk Sepanyol, meledak gol tunggal ketika final Piala Dunia 2010 untuk mengatasi Belanda dan menjulang trofi itu buat pertama kali.

Dia turut memainkan peranan penting dalam kejuaraan Sepanyol di Euro 2008 untuk menamatkan kemarau 44 tahun negara itu, serta dinobatkan pemain terbaik ketika mempertahankan gelaran berkenaan pada tahun 2012.

Di peringkat kelab, Iniesta menyertai akademi Barcelona, La Masia pada usia 12 tahun dan membuat 674 penampilan untuk kelab Sepanyol itu – menjadi kapten selama tiga musim.

sumber:- BH

Iniesta memenangi sembilan gelaran La Liga bersama Barca, empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah, enam takhta Copa del Rey, dua Piala Super UEFA dan tiga Piala Dunia Kelab. – REUTERS