“Kalau kita (jurulatih) ada gaji RM100,000 tapi tak boleh buat, lebih baik kita bayar gaji RM200,000…tapi boleh buat kerja jauh, itu sahaja.”
Itu kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menegaskan soal gaji buat calon ketua jurulatih skuad Harimau Malaya bukanlah isu utama, sebaliknya keupayaan untuk membimbing pasukan negara ke tahap lebih tinggi.
Katanya, soal gaji lumayan perkara kedua buat badan induk itu dalam memburu calon terbaik bagi melatih skuad Harimau Malaya yang kini dalam misi untuk layak ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti.
“Bukan soal gaji, tapi jurulatih yang mampu bawa kita ke satu tahap lain, bukan sebab gaji. Kalau kita ada gaji RM100,000 tapi tak boleh buat, lebih baik kita bayar gaji RM200,000 tapi boleh buat kerja jauh, itu sahaja.
“Bukan soal gaji dekat sini, tapi soal mampu sebab pasukan kebangsaan ini, kita belanjakan banyak untuk ini. Sekarang ini kita melihat mereka ini minat membantu pasukan negara.
“Jadi kita perlu bersedia untuk mendapat keputusan yang baik, mahu tidak mahu kita kena berbelanja lah,” katanya ketika ditemui media di Wisma FAM di Kelana Jaya, kelmarin.
Sebelum ini, beberapa pengendali asing menyatakan minat untuk melatih skuad Harimau Malaya khususnya selepas peletakan jawatan Kim Pan-gon pada Julai lalu atas alasan peribadi dan keluarga.
Susulan itu, muncul beberapa nama termasuk bekas jurulatih Vietnam yang berasal dari Korea Selatan, Park Hang-seo.
Namun gaji yang FAM perlu sediakan untuk membayar khidmat Hang-seo sekitar RM200,000 seperti mana yang diraihnya ketika bersama pasukan Vietnam sebelum ini.
Ketika ini, penolong jurulatih kepada Pan-gon diberi tanggungjawab melatih pasukan sehingga Disember ini sebelum statusnya dikaji semula dengan meneliti prestasi skuad negara dalam beberapa siri kejohanan termasuk saingan Pestabola Merdeka pada bulan lalu dan Piala AFF Disember ini.
sumber:- HM
Untuk rekod, Vicente yang berasal dari Sepanyol berjaya menghadiahkan trofi Pestabola Merdeka selepas membenam Lubnan dalam aksi final, ketika Pan-gon pada musim lalu gagal apabila tumbang di tangan Tajikistan di final.