Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente tetap gembira meskipun Harimau Malaya hanya akan menentang pasukan kelab bagi aksi persahabatan, Jumaat ini.
Vicente menjelaskan walaupun berdepan pasukan kelab, perlawanan itu akan membantu pasukan untuk persiapan menentang New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, 14 Oktober nanti.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, aksi berdepan kelab tetap akan menjadi perlawanan yang berkualiti buat Harimau Malaya kerana pasukan yang akan ditentang adalah salah satu kelab utama.
“Kita akan berdepan kelayakan Piala Asia pada Mac depan, bagi saya apa yang penting adalah cuba mendapatkan perlawanan persahabatan yang berkualiti untuk persiapkan pasukan.
“Kita akan bermain aksi persahabatan dengan kelab di New Zealand, saya fikir pasukan kelab yang kuat dan saya harap ia juga dapat membantu pemain untuk mendapatkan minit permainan.
“Jadi, untuk kami ia tetap bagus untuk memantau pemain. Untuk kali ini kami terlepas peluang untuk bermain satu lagi aksi persahabatan (Tier 1), tetapi bagi barisan kejurulatihan, kami gembira dapat peluang ini,” katanya.
Semalam, Vicente dalam kenyataan mengesahkan Harimau Malaya terpaksa menentang pasukan kelab utama di New Zealand selepas gagal mendapatkan pasukan kebangsaan negara lain untuk aksi persahabatan.
Perkembangan itu menyaksikan skuad negara hanya akan mengharungi satu aksi antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Auckland dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7 hingga 15 Oktober.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba mendapatkan perlawanan dengan lapan pasukan Oceania termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea.
sumber:- BH
Bagaimanapun, Vicente berkata pasukan terbabit mempunyai komitmen untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 masing-masing pada 10, 11 dan 12 Oktober.