sukan

Komen legenda Negara Tindakan lapan pasukan tolak pelawaan FAM

Tindakan lapan pasukan menolak pelawaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan aksi persahabatan dianggap bukan sebab mereka takut untuk berdepan Harimau Malaya.

Sebaliknya, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan tindakan itu diambil pasukan terbabit kerana mereka benar-benar memiliki komitmen lain terutama kelayakan Piala Dunia 2026.

Malah, beliau menjelaskan bahawa FAM tidak boleh dipersalahkan kerana gagal mendapatkan satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 sebelum menentang pasukan ranking 95 dunia, New Zealand di Auckland, 14 Oktober ini.

Katanya, semua pihak kena faham negara lain juga memiliki komitmen dalam kalendar aksi antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan tidak semestinya pelawaan daripada FAM akan terus diterima.

“Bila kita sudah mohon untuk main dengan negara lain dan ditolak, kita tak boleh buat apa sebab setiap negara ada komitmen masing-masing, bukan kata kalau kita pelawa mereka terus nak main.

“Jadi mereka tak nak apabila lawan kita dalam aksi persahabatan mengganggu persiapan mereka untuk kelayakan Piala Dunia. Tidak (bukan sebab mereka takut) tapi saya berasa mereka ada komitmen.

“Kadang-kadang ada negara lain yang nak main dengan kita pun kita terpaksa tolak sekiranya ia boleh mengganggu perancangan pasukan kebangsaan.

“Bukan saya bercakap bagi pihak FAM, saya tiada kepentingan apa-apa dan saya bukan kaki bodek. Namun, semua pihak harus faham dan saya sendiri pun kalau benda yang baik saya akan kata baik, saya tak suka kritik tak tentu arah,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menjelaskan FAM cuba mendapatkan perlawanan dengan lapan pasukan Oceania termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea, namun pasukan terbabit mempunyai komitmen untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 masing-masing pada 10, 11 dan 12 Oktober.

Situasi itu menyaksikan Harimau Malaya terpaksa mengatur perlawanan persahabatan Tier 2 menentang pasukan kelab di New Zealand, Jumaat ini sebelum berdepan pasukan kebangsaan negara itu.

Untuk rekod, Malaysia pernah menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jun tahun lalu.

Selain Malaysia, pasukan lain termasuk Vietnam dan India juga dikhabarkan hanya akan mengharungi satu aksi persahabatan pada kalendar perlawanan antarabangsa FIFA dari 7 hingga 15 Oktober ini susulan penarikan diri Lubnan dari kejohanan tiga penjuru di Vietnam.

Selain itu, Jamal menganggap aksi berdepan pasukan kelab juga bagus buat Vicente untuk menguji barisan pemain simpanan atau yang kurang mendapat peluang bermain.

“Tak semestinya setiap perlawanan kita kena lawan pasukan lebih kuat. Kita nak tengok juga kemampuan pemain simpanan dan mungkin lawan New Zealand kita boleh letak pemain utama.

“Ramai pemain simpanan tak dapat peluang bermain, jadi lawan kelab kita boleh beri mereka peluang dan tengok pencapaian mereka. Kalau lawan kelab pun mereka tak boleh tunjukkan kebolehan, jadi lebih baik gugurkan dan ambil yang baru.

sumber:- BH

“Aksi itu boleh bagi keyakinan kepada jurulatih untuk serap pemain ini dalam skuad kebangsaan dan ini peluang untuk pemain simpanan diberi peluang bermain. Mungkin kelab itu lebih baik dari kelab kita di Malaysia,” katanya.