sukan

Saya memang kecewa dengan tindakan MFL

TINDAKAN Malaysia Football League (MFL) menangguhkan perlawanan di antara Perak FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) kali kedua di Stadium Perak amat mengecewakan penyokong kedua-dua pasukan.

Kehadiran seramai 10,833 penyokong yang menanti perlawanan tertunda itu dimainkan sekadar memberi harapan palsu apabila penantian selama lebih sejam untuk sepak mula sekadar menyaksikan pemain memanaskan badan di dalam padang.

Bagi penyokong Perak FC, Syamsul Fetry Abdul Rahman, 37, kehadirannya ke stadium bersama isteri dan dua orang anak dari Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan perlawanan tersebut nyata hampa.

Katanya, penyokong yang hadir amat menanti-nantikan perlawanan di antara dua pasukan hebat di dalam Liga Malaysia itu.”Saya memang kecewa sebab datang jauh dari Shah Alam nak tengok perlawanan ini tapi akhirnya ditangguhkan lagi.

“Kalau tengok hujan tidaklah lebat dan kondisi padang pun ok, tapi tak tahu kenapa tiba-tiba kena tangguh. Perlawanan ini memang saya nanti-nantikan tapi malangnya tak dapat nak tengok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sejurus tamat perlawanan berkenaan di Stadium Perak di sini pada malam Sabtu.

Seorang penyong yang mahu dikenali sebagai Faizal, 43, keputusan MFL menangguhkan perlawanan buat kali kedua itu hanya menyusahkan peminat.

Jelasnya, tindakan itu membuang masa dan wang penyokong yang datang dari segenap pelosok negeri Perak.

“Kalau perlawanan memang mahu ditangguhkan sepatutnya umumkanlah lebih awal. Sekurang-kurangnya, penyokong boleh balik awal, tak perlu tunggu berjam-jam.

“Memang membuang masa saya. Saya tunggu tiga jam tapi tiba-tiba perlawanan batal. Kesian pada penyokong, anak-anak yang datang dengan semangat nak tengok pasukan bermain,” katanya.

Bagi Azwan Mat Isa, 44, alasan hujan dan permukaan padang tidak mengizinkan untuk tidak meneruskan perlawanan sesuatu yang sukar diterima.

Menurutnya, dalam perlawanan sebelum ini dengan pasukan lain tiada masalah pun untuk permainan diteruskan.

“Hujan pun bukanlah lebat sangat dan tak ada kilat pun. Penyokong macam kami ini dah keluar modal banyak sebab nak datang sini. Ada yang dari Parit Buntar dan Pulau Pinang datang nak tengok Perak main.

“Memang saya kecewa sangat, ramai yang lain pun sama. Kami pun redah hujan sebab nak tengok bola di stadium,” katanya.

Sementara itu, bagi penyokong JDT, Muhammad Hafiz Ahmad Sohan, 39, penangguh perlawanan itu juga tidak disenangi.Dia yang datang berempat dengan isteri dan dua orang anak mengakui keputusan MFL itu tidak langsung dijangka kerana perlawanan pertama sebelum ini sudah ditangguh.

“Saya memang peminat JDT. Sejak setahun tinggal di Perak, ini kali pertama nak tengok perlawanan di Stadium Perak dengan keluarga. Di Larkin kita dah biasa tengok.

“Sebenarnya saya nak beri pengalaman pada anak-anak suasana perlawanan di stadium. Tapi sebelum diumumkan perlawanan ditangguhkan cuaca dah makin baik tadi,” katanya.

sumber:- SH

Terdahulu waktu sepak mula bagi perlawanan tertunda Liga Super di antara Perak FC dengan JDT ditangguh selama tiga kali bermula jam 8.15 malam diikuti 8.45 malam dan seterusnya 9.15 malam sebelum diumumkan penangguhan terus ke tarikh yang akan diumumkan oleh MFL kemudian.