Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan hasrat untuk menentang pasukan kebangsaan lain apabila dijadualkan hanya akan bertemu pasukan kelab utama New Zealand untuk aksi kedua perlawanan persahabatan.
Perkembangan itu menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente hanya akan mengharungi satu aksi antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Auckland, 14 Oktober ini dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7 hingga 15 Oktober.
Vicente dalam kenyataan memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba mendapatkan perlawanan dengan lapan pasukan Oceania termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea.
Bagaimanapun, beliau berkata pasukan terbabit mempunyai komitmen untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 masing-masing pada 10, 11 dan 12 Oktober.
“Perlawanan ini memberikan satu peluang yang cukup berharga kerana New Zealand berada di kedudukan ke-95 dunia.
“Skuad Harimau Malaya akan terbang ke Auckland, malam ini untuk memulakan kem latihan pusat di sana. Ia akan memberikan pasukan tempoh seminggu penuh untuk persediaan sebelum menentang New Zealand.
“Selain itu, pasukan kebangsaan akan menentang sebuah pasukan kelab utama untuk perlawanan antarabangsa Tier 2 pada 11 Oktober sebagai persiapan yang berkualiti menjelang aksi itu.
“Tempoh latihan yang panjang ini juga adalah peluang untuk mengukuhkan lagi ikatan dan perpaduan dalam pasukan,” katanya.
Selain itu, Vicente mengesahkan pasukan akan berlepas dengan hanya 26 pemain apabila kapten, Dion Cools terpaksa menarik diri kerana urusan keluarga.
sumber:- HM
“Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan berharap Cools dapat kembali pada jendela antarabangsa FIFA seterusnya pada November depan,” katanya