sukan

Jumlah Hutang Kedah amat ‘mengerikan’

Nasib Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh dikatakan hanya tunggu masa untuk berkubur apabila dikatakan hutang yang terpaksa di tanggung pasukan berpengkalan di utara tanah air itu boleh dikatakan mencecah RM10 juta.

Jumlah berkenaan yang boleh dikatakan agak besar adalah berdasarkan kepada tanggungan tunggakan gaji sejak Februari lalu termasuklah beberapa bayaran lain yang gagal disempurnakan pasukan itu.

Menurut sumber dalaman pasukan itu, ketika ini kantung KDA FC boleh dikatakan kering dan hanya mengharapkan ‘ihsan’ pemain untuk beraksi bersama pasukan terbabit.

Malah, ketika ini dikatakan pemilik majoriti saham Kedah Darul Aman (KDA) FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar masih lagi berusaha untuk mencari dana bagi menjelaskan bayaran terbabit bagi mengelak pasukan itu berkubur.

“Jika ditanya berapa lama KDA FC boleh bertahan, saya pun tak pasti kerana terlalu banyak hutang yang perlu ditanggung pasukan itu ketika ini.

“Bayangkan jika sudah lebih tujuh bulan gaji tertunggak dengan anggaran gaji pemain saja dalam lingkungan RM800,000 hingga RM1 juta. Jadi sudah berapa jumlah hutang yang perlu ditanggung KDA FC?.

“Jumlah itu hanyalah merangkumi gaji saja namun belum lagi membabitkan bayaran lain yang perlu dijelaskan. Jadinya, KDA FC ini boleh dikatakan hanya tunggu masa saja,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, barisan pemain skuad kenari dikatakan memboikot sesi latihan apabila mereka tidak turun menjalani persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) yang dijadualkan pada 19 Oktober ini.

Namun, barisan pemain akhirnya tetap tetap menunjukkan sikap komited dan profesionalime mereka apabila tetap turun untuk sesi latihan bagi mempersiapkan diri untuk aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman pada petang semalam.

Kelihatan seramai 14 pemain turun menjalani latihan yang dikendalikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan barisan kejurulatihan walaupun sebelum ini, media melaporkan pemain Sang Kenari buat kali kedua kembali memboikot sesi latihan selepas kejayaan mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Darul Aman pada 21 September lalu.

sumber:- HM

Mengikut rekod, sebelum ini Arena Metro melaporkan bahawa skuad KDA FC berhadapan masalah besar apabila tidak membayar gaji pemain membabitkan tujuh bulan.