Seramai 500 pegawai dan anggota polis akan berkawal untuk memastikan kelancaran pada perlawanan ulangan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di Stadium Perak, di sini, malam ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, 500 anggota yang ditugaskan itu tidak hanya bertumpu untuk mengawal kawasan stadium, sebaliknya meliputi kawalan keseluruhan termasuk menjaga lalu lintas dan persediaan di luar stadium yang membabitkan keseluruhan kawasan pekan (pusat bandaraya) Ipoh.
“Polis sentiasa bersedia menangani sebarang kemungkinan, serta kita bukan hanya melihat dari segi pelbagai kemungkinan itu namun juga berasaskan kepada risikan-risikan berdasarkan kepada pasukan yang akan terbabit dalam menangani situasi di luar kawalan.
“Mungkin warganet akan kata jumlah 500 polis itu terlalu besar untuk mengawal stadium malah mungkin lebih ramai berbanding penyokong, sedangkan kita bukan hanya jaga stadium. (Tetapi) kita juga menjaga lalu-lintas, di ‘circle’, dan lain-lain.
“Pada masa sama angka 500 polis itu berada bukan hanya di stadium, malah sebaliknya di persekitaran keliling stadium serta di luar kawasan stadium dan di (sekitar) pekan Ipoh. Itu tafsiran saya mengenai 500 keanggotaan itu yang bukan hanya duduk di (dalam) stadium.
“Apa juga insiden yang berlaku. Nombor-nombor (bilangan) ini sudah disiapsiagakan agar akan mudah deploy (dikerahkan) untuk membantu sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Angkat AMANITA 2024 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Dewan Konvensyen Pusing, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohamad.
Azizi dalam pada itu menasihati penyokong kesua-dua pasukan supaya tidak bermusuhan sama ada di dalam mahupun di luar padang, sebaliknya sentiasa berhemah mematuhi peraturan-peraturan ditentukan polis.
“Bertarunglah secara bijak, strategik, dan kehebatannya ditonjolkan di padang. Penyokong-penyokong harus melihat perlawanan sukan ini yang (dasarnya) ingin menjadikan sesuatu program yang sihat untuk negara, masyarakat dan individu,” katanya.
Perlawanan ulangan Liga Super antara Perak FC dan JDT FC di Stadium Perak malam ini diadakan susulan perlawanan kedua-dua pasukan itu pada 17 Ogos lalu ditangguhkan ke suatu tarikh lain akibat cuaca hujan dan keadaan padang becak.
sumber:- BH
Biarpun perlawanan pada 17 Ogos lalu hanya sempat berlangsung selama empat minit, namun dilaporkan lapan individu termasuk seorang remaja berumur 16 tahun ditahan selepas bertindak membaling botol ke arah anggota polis bertugas, selain melakukan kekecohan serta provokasi mengancam ketenteraman di tempat awam.