Pemain antarabangsa Perancis, Paul Pogba berkata ‘mimpi ngeri’ sudah berakhir selepas penggantungan empat tahun kerana doping dikurangkan kepada 18 bulan.
Pogba yang masih memiliki kontrak dengan Juventus sehingga 2026 akan kembali beraksi mulai 11 Mac tahun depan, empat hari sebelum hari jadinya yang ke-32.
“Akhirnya ‘mimpi ngeri’ itu berakhir. Saya kini boleh kembali mengejar impian bermain bola sepak semula,” katanya yang mengeluarkan kenyataan kepada Persatuan Akhbar Britain.
“Saya selalu tegaskan bahawa saya tidak melanggar peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) apabila saya mengambil makanan tambahan yang ditetapkan oleh doctor untuk meningkatkan prestasi sebagai atlet.
“Selama ini saya menjaga integriti dengan baik. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada hakim Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mendengar penjelasan saya.
“Ini adalah tempoh yang sangat menyedihkan dalam hidup saya kerana semua yang sudah saya usahakan hilang, namun ia kembali menggembirakan apabila keputusan berpihak saya untuk kembali bermain bola sepak,” katanya.
Terdahulu, jurucakap CAS mengesahkan bahawa penggantungan Pogba Berjaya dikurangkan.
“Saya boleh mengesahkan keputusan itu (pengurangan) penggantungan 18 bulan yang berkuat kuasa pada 11 September 2023 lalu. Sebab-sebab keputusan itu akan menyusul kemudian,” kata jurucakap CAS kepada AFP.
Pogba sebelum ini didapati positif dadah jenis ‘Testosterone’ pada Ogos 2023 selepas aksi antara Juventus dan Udinese di Itali.
sumber:- HM
Didapati bersalah dan dikenakan penggantungan pada September musim lalu dan kemudiannya digantung selama empat tahun oleh agensi Anti Doping Antarabangsa Itali pada Februari tahun ini.