sukan

kami begitu kecewa — Badrul

Ketumpulan penyudah menyaksikan Terengganu FC (TFC) gagal menamatkan kemarau kemenangan dalam enam aksi terakhir.

Pengendali sementara skuad itu, Badrul Afzan Razali akui beliau begitu kecewa dengan kegagalan itu biarpun anak buahnya berpeluang untuk menambah jaringan terutama dengan kehadiran penyerang import baharu, Nelson Bonilla.

Pada perlawanan itu, TFC yang mempunyai deretan peluang hanya mampu meledak satu gol menerusi pemain kebangsaan El Salvador, Bonilla pada babak pertama sebelum lawan mengikat kedudukan 1-1 melalui Chidi Osuchukwu pada babak kedua.

“Secara keseluruhan pemain berjaya mempamerkan peningkatan dengan menguasai permainan bermula pada babak pertama lagi.”Namun penyudah tumpul yang diketuai Bonilla menyaksikan kita gagal menambah jaringan biarpun berpeluang melakukannya, malah pemain hilang fokus ketika jaringan penyamaan pelawat menyebabkan kita gagal mempertahankan jaringan awal.

“Keputusan seri itu menyaksikan kemarau kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut terus berpanjangan, kami begitu kecewa,” ujar Badrul selepas tamat perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Ketika ditanya mengenai keupayaan Bonilla yang baharu ‘dirantai’ ketika jendela kedua perpindahan pemain pada September lalu, Badrul akui penyerang kelahiran El Salvador itu seorang pemain berkualiti.

“Peluang Bonilla untuk menjaringkan gol itu tetap ada, tapi dia memerlukan masa untuk lebih tajam selepas tiga perlawanan, lagipun dalam latihan kita sentiasa menekankan aspek keserasian antara pemain tengah dan penyerang.

“Bagaimanapun pada masa sama kami harapkan Bonilla dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukannya,” ujar Badrul yang baharu mengambil alih tugas ketua jurulatih daripada Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatannya pada Selasa lalu.

sumber:- HM

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan TFC dalam carta liga kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 17 mata manakala PDRM FC di tempat yang kelima dengan 15 mata.