sukan

Tommy dedah punca ‘berpisah’ dengan TFC

Tekanan daripada peminat antara punca bekas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner bersetuju untuk menamatkan kontraknya lebih awal dengan pasukan itu.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, beliau pada awalnya tiada perancangan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak musim lalu itu walaupun sedar prestasi pasukan sedikit merudum.

Ini kerana misinya belum tercapai untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya merangkul satu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selain mengintai peluang sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Kelab Asia Tenggara bagi merebut Piala Shopee yang kini sedang berlangsung.

“Bagaimanapun keputusan ini (menamatkan kontrak) lebih awal perlu dilakukan selepas perbincangan dengan pihak pengurusan kelab biarpun perancangan awal saya adalah untuk menghabiskan saingan musim ini.

“Tekanan daripada peminat yang mahukan saya berundur kerana mereka mahukan kemenangan antara faktor utama saya berbuat demikian.

“Saya bertanggungjawab atas kemerosotan prestasi pasukan, malah pihak pengurusan juga ada menyatakan mereka tidak senang dengan keputusan perlawanan dalam lima aksi terakhir.

“Sebagai jurulatih profesional, saya menerimanya dengan hati yang terbuka, tekanan daripada peminat ataupun pihak pengurusan itu adalah normal dalam mana-mana sukan.

“Jadi selepas perbincangan bersama kelab, saya bersetuju untuk berundur daripada mengendalikan pasukan biarpun begitu sayang kepada kelab ini (TFC).

“Ketika sesi latihan terakhir pada Selasa lalu, saya sempat ucapkan selamat maju jaya kepada pemain dan penolong jurulatih saya, Badrul Afzan Razali yang kini membimbing pasukan,” ujar Steinbruckner ketika dihubungi.

Selasa lalu, jurulatih yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia pada musim lalu membuat kejutan apabila melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih berikutan prestasi pasukan yang tidak konsisten.

sumber:- HM

Keputusan itu dibuat selepas bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd itu didesak peminat supaya direhatkan ataupun berundur daripada mengemudi pasukan.