Aksi serba tidak menjadi ditampilkan juara bertahan, Real Madrid ketika dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Lille dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Pierre-Mauroy awal pagi semalam.
Kekalahan itu secara tidak langsung meleburkan rekod cemerlang juara Eropah 15 kali itu yang tidak tewas daripada 36 perlawanan dalam semua kejohanan sejak disingkirkan Atletico Madrid pada pusingan 16 terbaik Piala Raja-Raja Sepanyol, 18 Januari lalu.
Ia juga adalah kekalahan pertama buat juara Sepanyol itu dalam kempen UCL sejak mereka dibelasah Manchester City 0-4 pada aksi separuh akhir kedua pada 17 Mei 2023.
Meskipun lebih banyak menguasai permainan, namun Los Blancos terpaksa akur pulang dengan tangan kosong apabila Jonathan David memastikan Lille meraih tiga mata penting menerusi gol daripada sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama.
Jurulatih Real, Carlo Ancelotti mengakui pasukan lawan menampilkan aksi lebih baik selain percaya, mereka layak berdepan kecaman kerana gagal menampilkan permainan diharapkan selaku juara bertahan.
“Pasukan lawan bermain lebih baik dan layak untuk mencatat kemenangan. Kami perlu sedar bahawa kami gagal dari segi perebutan bola, intensiti dan tahap konsisten. Bagi saya, ia bukan sesuatu yang rumit untuk diperkatakan.
“Apa yang kami tampilkan hari ini (semalam) semuanya serba tidak menjadi dan mengecewakan. Kami sukar untuk memenangi bola selain gagal melakukan perubahan, kami sepatutnya bermain lebih agresif,” katanya.
Penyerang Brazil, Endrick muncul pemain termuda Real membuat penampilan kesebelasan utama dalam perlawanan UCL pada usia 18 tahun 73 hari, mengatasi rekod lama dipegang legenda, Raul Gonzalez (18 tahun, 78 hari) ketika menentang Ajax pada 1995.
Sementara itu, Ancelotti turut memberi penekanan bahawa barisan pemainnya seolah-olah buntu sepanjang perlawanan apabila tidak banyak peluang keemasan tercipta bagi membolehkan mereka melakukan jaringan.
“Secara jujur, saya boleh katakan kami sukar untuk mencipta peluang terbaik bagi menghasilkan gol. Pergerakan bola sangat perlahan selain tidak ada idea untuk menembusi benteng pertahanan lawan,” ujar Ancelotti. – AGENSI