Pengendali Dynamic Herb Cebu FC, Mustafa Goksu menyifatkan anak buahnya tidak bernasib baik selepas sekali lagi terpaksa pulang dengan tangan kosong pada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Selepas dibelasah Jeonbuk Hyundai 6-0 pada aksi pertama, wakil Filipina itu tewas tipis 0-1 di tangan Selangor FC (SFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi yang menyaksikan penguasaan penuh perlawanan dimiliki tuan rumah.
Jaringan tunggal Yohandry Orozco pada minit kesembilan sudah cukup untuk SFC merakam kemenangan pertama mereka pada ACL2 dan membolehkan mereka mengutip tiga mata untuk menghuni tangga kedua Kumpulan H.
Namun, Mustafa tetap memberi pujian kepada barisan pemainnya kerana menunjukkan perlawanan yang baik sekalipun terpaksa akur tumbang dalam dua perlawanan berturut-turut di ACL2 sekali gus menghuni tangga tercorot Kumpulan H.
“Kami mengharungi perlawanan yang baik dan sangat menarik.
“Ia perlawanan yang sengit dan walaupun kami tewas 0-1, kami hampir mendapatkan gol penyamaan di hujung permainan dan membawa pulang satu mata.
“Tetapi kami tidak bernasib baik untuk mendapatkan jaringan penyamaan itu. Apapun, ia satu permainan yang baik daripada barisan pemain saya,” kata Mustafa.
Dalam perkembangan sama, Mustafa optimis anak buahnya mampu bangkit dalam aksi seterusnya kerana mereka sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan yang diharungi.
“Saya tidak risau dengan kekalahan kedua berturut-turut ini kerana masih ada perlawanan lagi selepas ini. Memang kami tewas tetapi pemain sudah menunjukkan aksi yang terbaik.
sumber:- BH
“Jadi saya harap mereka akan bangkit untuk memperagakan persembahan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.