Arif Aiman Hanapi adalah salah seorang ‘intelligence athlete’ atau atlet pintar yang bijak mengurus dan mengawal persekitaran di sekelilingnya bagi melonjakkan lagi prestasi dan tahap permainannya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berkata, pemain sensasi skuad Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut bijak mengelak hal peribadi khususnya kontroversi membabitkan ‘cinggey’.
Jelas pensyarah kanan Fakulti Sukan & Eksesais Sains Universiti Malaya (UM) itu, apa yang dilakukan oleh Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan itu bertepatan dengan konsep profesional sebagai atlet berprestasi tinggi.
“Apa yang dilakukan Arif Aiman ini saya boleh katakan, inilah tahap profesional sebenar untuk seorang atlet atau pemain bola sepak profesional.
“Dia seorang ‘intelligence athlete’ seperti mana yang ada pada Datuk Lee Chong Wei (legenda perseorangan badminton negara) sebelum ini.
“Dia tahu untuk mengawal diri dan memastikan prestasinya di tahap tertinggi. Saya percaya, dia sentiasa memperbaiki diri dalam setiap perlawanan dilalui dengan tidak cepat berpuas hati.
“Sebaliknya dia akan cuba tingkatkan lagi persembahan, selain mengawal pemakanan, emosi dan faktor luaran dengan sebaiknya sebagaimana seorang pemain profesional,” katanya kepada Arena Metro.
Arif Aiman ketika ini bukan saja dianggap bintang bola sepak Malaysia, bahkan namanya kini menjadi bualan penyokong bola sepak Asia.
Ia dibuktikan menerusi aksi menakjubkan pemain berusia 22 tahun itu dalam saingan Piala Asia 2024 di Qatar, Januari lalu.
Terbaru, dia meledak tiga gol dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bersama JDT, sekali gus meletakkan dirinya sebagai bintang muda paling menyerlah di benua ini.
Ujar Nasnoor, budaya profesional dan fasiliti moden yang terdapat di JDT antara faktor penyumbang kepada kematangan permainan Arif Aiman.
“Kita tak boleh menolak tepi sumbangan JDT dalam membangunkan dia. Dengan fasiliti terbaik serta daya pemikiran profesional diterapkan oleh kelab, membuatkan Arif Aiman menggunakan kesemua itu untuk meningkatkan prestasinya.
sumber:- HM
“Saya percaya dengan usinya yang masih muda, jika dia mampu mengekalkan disiplin, tidak mustahil dia akan kekal konsisten sebagai pemain terbaik untuk tempoh 15 tahun akan datang lagi,” katanya.