sukan

Bidoglio wasapada ancaman

Selepas cemerlang dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalih tumpuan bagi aksi tertunda Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Aksi kedua-dua pasukan itu tertangguh akibat cuaca buruk ketika hanya beraksi empat minit perlawanan pada 17 Ogos lalu dan akan dimainkan semula.

Bagi meneruskan rentak kemenangan, pengendali JDT, Hector Bidoglio pasti merencana strategi yang ampuh berdepan skuad kendalian Yusri Che Lah yang tampak berada pada prestasi terbaik selepas melakar tiga kemenangan berturut-turut.

“Ia perlawanan penting bagi kami kerana mahu mengekalkan momentum kemenangan namun dalam membuat percaturan bagi menghadapi Perak, kami tetap berwaspada dengan taktik permainan lawan.

“Mereka menang tiga perlawanan terakhir dan moral mereka juga tinggi untuk berusaha menafikan kemenangan kami. Tetapi kami akan turun beraksi dengan lebih dinamik dan mengekalkan intensiti tinggi,” katanya.

Pengendali asal Argentina itu akan mempertaruhkan barisan terkuat dengan Arif Aiman Hanapi yang menyerlah dalam ACLE diturunkan bergandingan dengan pendahulu penjaring terbanyak liga, Bergson da Silva yang sudah meledak 14 gol.

Namun Bidoglio harus berwaspada dengan ancaman penyerang import dari Argentina, Luciano Guaycochea yang tampak begitu berbahaya selain kelibat pemain tengah, Sunday Afolabi yang menjadi perancang utama.

Menariknya, Bidoglio tetap dengan sikap merendah diri dan tidak mahu pemainnya dibuai mimpi indah dengan pencapaian setakat ini malah beliau juga memilih untuk merahsiakan senarai kesebelasan utama.

sumber:- BH

“Siapa yang diturunkan akan ditentukan sebelum perlawanan dan semua pemain harus berada dalam prestasi terbaik dan mempamerkan aksi konsisten berdepan Perak,” kata Bidoglio.