sukan

Kalaulah ada 11

Kualiti yang dimiliki pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi selain prestasi yang kekal konsisten jelas menjadi ‘petanda aras’ yang perlu dicapai barisan pemain tempatan untuk membarisi skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pemain sayap lincah itu kini sudah membuktikan betapa dia sudah berada dalam kelas tersendiri dan boleh dikatakan sama hebat dengan pemain dari luar negara.

Justeru, Yusoff menegaskan program pembangunan bola sepak negara perlu terus diperkasa bagi memastikan pemain yang bakal dilahirkan nanti sekurang-kurangnya mencapai tahap seperti apa yang sudah ditunjukkan Arif Aiman ketika ini.

“Program pembangunan kena berjalan kerana apabila kita berada dalam satu peringkat, pemain ini tahu bahawa dia perlu mencapai satu tahap tertentu. Ini boleh menjadi sasaran mereka contohnya kalau nak jadi pemain kebangsaan, mereka perlu jadi macam Arif Aiman.

“Arif Aiman sudah menunjukkan tahapnya sama dengan pemain luar negara. Sebagai contoh kalau kita ada 11 orang Arif Aiman, sudah tentulah kita tidak perlukan lagi pemain dari luar negara.

“Tetapi untuk mencapai atau mendapatkan tahap itu, kita perlu menyediakan pasukan yang ada menunjukkan satu tahap di mana mereka mampu bersaing. Kalau tiada (persaingan), tiada pemain (berkualiti) yang akan keluar daripada proses itu,” kata Yusoff.

Sebagai rekod, Arif Aiman ketika ini mengekalkan konsistensi sebagai pemain tempatan paling menyerlah dalam saingan Liga Super mahupun ACLE.

Pemain itu meledak tiga gol dan mencipta empat bantuan gol untuk JDT dalam kancah Liga Super sekali gus menyaksikan dia terbabit dalam tujuh gol yang dijaringkan JDT.

Dia juga muncul penjaring kedua terbanyak ACLE setakat ini dengan tiga gol, satu gol di belakang pemain Gwangju, Jasir Asani yang meledak empat gol untuk membantu kelab Korea Selatan itu mengungguli Zon Timur.

Dalam perkembangan lain, Yusoff menjelaskan setakat ini, mereka hanya mengemukakan permohonan pemain dari Belanda, Mats Deijl kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meskipun banyak nama pemain yang didakwa berdarah kacukan layak mewakili skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Yusoff mengesahkan badan induk itu sentiasa memantau kelibat pemain berdarah kacukan di luar negara memandangkan mereka sentiasa terbuka dan menggalakkan pemain ini untuk membantu melancarkan proses dokumentasi.

“Apabila kita mendapat seorang pemain itu, kita akan semak keseluruhan dokumen mereka dan perlu mengharungi pelbagai proses untuk memastikan sama ada dokumen itu sah ataupun tidak. Selepas itu barulah kita akan hantar kepada FIFA untuk dapat kelulusan.

“Ada lagi (pemain) yang masih dalam perhatian kita. Kita memang sentiasa berurusan dengan mereka untuk memastikan dokumen ataupun apa-apa keperluan untuk merealisasikan hasrat bagi mengambil mereka sebagai pemain warisan. Kita tidak berhenti di situ,” katanya.

sumber:- BH

Ketika ini, dua pemain dari Liga Kejuaraan, Burnley iaitu Josh Brownhill dan Zian Flemming didakwa memiliki darah kacukan sekali gus berpeluang memperkasa skuad kebangsaan sekiranya menepati syarat ditetapkan FIFA.