sukan

Kad merah Fernandes ditarik balik

Kapten Manchester United, Bruno Fernandes terlepas daripada penggantungan tiga perlawanan selepas layangan kad merah ke atasnya ditarik semula.

Pemain tengah Portugal itu kini boleh beraksi menentang Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

Fernandes dilayangkan merah ketika kekalahan 3-0 kepada Tottenham Hotspur di Old Trafford selepas dia mengasari James Maddison pada minit ke-42.

Dia sepatutnya terlepas aksi menentang Villa pada Ahad, Brentford dan West Ham United, tetapi rayuan Man United diterima dan penggantungan itu dibatalkan.

“Bruno Fernandes boleh beraksi untuk Manchester United dalam tiga perlawanan akan datang selepas rayuan diterima.

“Pemain tengah itu dibuang padang kerana kekasaran ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur pada Ahad, 29 September,” kata kelab itu.

sumber:- BH

Fernandes akan menerajui United dalam aksi Liga Europa menentang FC Porto di Portugal esok.United kini di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris pada tujuh mata selepas enam perlawanan. – AGENSI