Pemain sayap kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi memberi bayangan tidak akan berpisah dengan kelab itu dan akan terus kekal memberi sumbangan terbaik mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Kelicikan Arif ternyata memberi impak buat skuad kendalian Hector Bidoglio apabila dia menjad pencetus kemenangan 3-0 ke atas Shanghai Shenhua FC apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11, dan buat kali kedua dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Kini pemain muda meningkat naik itu sudah meledak tiga gol selepas mengharungi dua perlawanan ACLE dan berjaya mengatasi nama-nama besar seperti Cristiano Ronaldo dan Sadio Mane yang masing-masing menjaringkan satu gol.
“Sejujurnya saya mahu kekal di sini sampai bila-bila namun saya tidak boleh selesa dan pastikan saya terus berjaya.”Bagi saya semua perlawanan penting sama ada liga tempatan atau di Asia. Saya kena menikmati saat ini kerana di usia muda saya perlu berusaha dan ini adalah impian saya kerana sedar bukan mudah main di peringkat tinggi Asia.
“Saya sentiasa pesan kepada diri saya untuk berikan yang terbaik buat JDT dan dengar cakap jurulatih serta rakan-rakan sepasukan kerana mereka banyak membantu bagi memberi lebih keyakinan apabila saya beraksi di padang.
“Dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan sudah tentu memberi motivasi buat diri saya dan tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dicapai, sebaliknya banyak lagi perkara harus dilakukan kerana dalam bola sepak masih ada ruang untuk perbaiki setiap kelemahan,” kata Arif.
Pemain berusia 22 tahun itu turut mengakui pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor banyak memberikan semangat buatnya terutama apabila dia bergelut mengatasi masalah kecederaan.
“Sebelum ini saya cedera dan ia menjejaskan prestasi. Bos (Tunku Ismail) selalu bagi semangat untuk lakukan yang terbaik dan atas sebab itulah saya tekad untuk kekal di kelab ini.
sumber:- BH
“Saya dedikasikan kemenangan ini untuk penyokong dan hargai sokongan mereka yang hadir dan gembira kerana kami berjaya berikan kejayaan kepada mereka,” katanya.