Hasrat skuad Harimau Malaya untuk mendapatkan khidmat pemain Go Ahead Eagles dari Belanda, Mats Deijl tidak kesampaian selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain itu tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai skuad kebangsaan.
FAM menjelaskan, perkembangan itu disahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan berdasarkan dokumentasi dilampirkan, pemain itu hanya memiliki darah keturunan Malaysia menerusi moyangnya dan bukan melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
“FAM dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakan beliau untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.
“Hasil perbincangan, pemain ini memberikan dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuknya.
“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu,” kata FAM.
Justeru, FAM menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain ini yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).
“FIFA menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa: “Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive.”
“Berdasarkan jawapan FIFA, FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA.
“FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia namun ia tidak dapat direalisasikan,” kata badan induk itu.
Sebagai rekod, dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.
sumber:- BH
Syarat pertama adalah pemain itu lahir di negara terbabit atau pun ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara terbabit.Syarat ketiga adalah datuk dan nenek pemain lahir di negara terbabit atau ataupun pemain itu menetap di negara terbabit melebihi tempoh lima tahun.