Berdasarkan kedudukan terkini ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), peluang skuad Harimau Malaya untuk memintas India bagi menempatkan diri dalam balang satu pada undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 boleh dianggap sukar.
Meskipun India hanya enam anak tangga di atas Malaysia iaitu masing-masing di kedudukan 126 dan 132, jurang mata antara kedua-dua pasukan agak besar iaitu 31.81 mata.
India ketika ini menghimpun 1139.39 mata sementara skuad bimbingan Pau Marti Vicente mengumpul mata keseluruhan 1107.58 mata.
Namun, dengan empat aksi persahabatan yang dijangka berlangsung pada jendela antarabangsa FIFA bagi Oktober dan November, skuad negara masih berpeluang untuk merapatkan jurang dengan India.
Ketika ini, hanya satu aksi persahabatan disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi Oktober iaitu menentang pasukan di ranking ke-95 dunia, New Zealand di Stadium North Harbour, 14 Oktober ini.
Jika Malaysia berjaya menewaskan New Zealand, skuad negara akan menambah 6.22 mata bagi ranking FIFA dan jika sekurang-kurangnya seri, mereka akan membawa pulang 1.22 mata.
Sekiranya skuad negara tewas, mereka akan kehilangan 3.78 mata, jadi mereka tidak memiliki pilihan selain perlu menundukkan New Zealand sekiranya mahu mengutip mata yang lebih besar untuk ranking FIFA.
Satu lagi lawan untuk bulan Oktober belum lagi diumumkan badan induk itu namun dijangka pasukan dari Oceania juga bakal menjadi pencabar buat Malaysia.
Bagi November, Malaysia sah akan menentang India di tempat lawan namun berdasarkan pengiraan mata menentang New Zealand yang lebih tinggi hanya memberikan enam mata untuk kemenangan, mungkin mata lebih rendah bakal diraih Malaysia jika menang ke atas India.
sumber:- BH
Apapun, skuad negara perlu memanfaatkan sebarang peluang yang ada untuk mengutip sebarang banyak mata yang boleh termasuklah pada Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), hujung tahun ini.