Selangor FC mengumumkan seorang lagi pemain import baharu yang akan memperkuatkan Gergasi Merah bagi mengharungi saingan musim 2024-2025.
Naib juara Piala FA itu secara rasmi mengesahkan pemain tengah dari Croatia, Nikola Jambor sebagai rekrut terbaharu buat skuad kendalian Nidzam Jamil.
Pemain yang lebih mesra dengan panggilan Niko itu memulakan karier profesional sejak usia 19 tahun bersama kelab di negara kelahirannya, NK Koprivnica.
Penampilan terbanyak Niko adalah bersama Slaven Belupo Koprivnica dengan 66 perlawanan sepanjang dua musim dan antara pencapaian terbaiknya bersama kelab itu ketika meraih tempat kedua dalam saingan Croatian Cup 2015/16.
Pemain berusia 28 tahun itu turut berkelana di beberapa negara sepanjang kariernya termasuk Belgium, Portugal dan Arab Saudi.
Dia yang pernah beraksi bersama kelab Portugal, Rio Ave FC mengakui tidak berfikir panjang untuk menyertai Selangor FC selepas mendengar tawaran daripada ejennya.
“Saya ada menerima panggilan daripada ejen saya mengenai tawaran yang menarik perhatian saya. Rancangan pihak kelab disusun dan sejajar dengan objektif serta misi saya.
“Ia menjadikannya sukar untuk ditolak kerana saya benar-benar teruja untuk bersama keluarga baru ini dan bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” katanya.
Sementara itu, Nidzam menjangkakan kehadiran Niko akan memberi saingan sengit terutama di bahagian tengah Selangor.
sumber:- BH
“Saingan itu sedikit sebanyak mampu memberikan kesan positif kepada pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini,” katanya.