Liga Perdana Inggeris mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan keputusan kad merah pengadil, Chris Kavanagh ke atas kapten Manchester United, Bruno Fernandes ketika kekalahan 3-0 pasukannya kepada Tottenham di Old Trafford.
Pemain tengah Portugal itu dibuang padang sebelum rehat selepas dia mengasari pemain Tottenham, James Maddison.
Insiden berkenaan berlaku ketika pelawat mendahului 1-0, dan skuad kendalian Ange Postecoglou menggunakan kelebihan pemain di babak kedua untuk meledak dua gol lagi.
Selepas perlawanan, Fernandes dan pengendali United, Erik ten Hag menyelar keputusan berkenaan dengan pemain itu berkata, terjahan itu memang satu kesalahan tetapi tidak sepatutnya dilayangkan kad merah.
Liga Perdana Inggeris menjelaskan keputusan berkenaan: “Pengadil memberikan kad merah kepada Fernandes kerana mengasari Maddison. VAR menyemak semula dan mengesahkan keputusan pengadil untuk kekasaran serius.”
Selepas jaringan minit ketiga Brennan Johnson, Dejan Kulusevski dan Dominic melengkapkan kemenangan untuk Spurs.
“Tidak ada sesiapa suka dibuang padang. Ia bukan perasaan yang enak. Kami akhirnya dibolosi dua lagi gol.
“Ia memang satu kesalahan, tetapi bukan kad merah. Maddison juga berkata ia bukan kad merah,” kata Fernandes.
sumber:- BH
Sementara itu Ten Hag berkata: “Kad merah berkenaan mengubah permainan. Saya tidak rasa ia kad merah.” – AGENSI