Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara menutup kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2025 dengan cara amat memilukan selepas terikat dengan pasukan tercorot Sri Lanka 1-1 pada aksi terakhir Kumpulan E di Dushanbe, Tajikistan sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido menamatkan saingan kelayakan di tangga ketiga dengan lima mata dan mereka boleh turun ke tangga keempat jika Tajikistan menewaskan Oman dalam satu lagi aksi, selepas ini.
Sri Lanka pula berjaya mengutip satu mata selepas tumbang dalam tiga perlawanan berdepan Korea Utara, Tajikistan dan Oman.
Pada aksi di Stadium Republican Central, Malaysia mendominasi hampir sebahagian besar babak pertama namun gerakan yang dilancarkan skuad negara tidak cukup untuk membolosi gawang Sri Lanka yang melepaskan 12 gol dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Skuad negara terpaksa menunggu hingga minit ke-31 untuk membuka jaringan selepas Muhamad Dainei Mat Disa bijak melakukan hantaran kepada Mohamad Amir Farhan Mohd Fuzi yang berjaya menewaskan M F Ahameed Shareef untuk gol pembukaan perlawanan.
Beberapa sepakan percuma yang diterima juga tidak dimanfaatkan dengan baik dengan sepakan percuma Muhammad Danial Mohd Nor di hujung babak pertama diselamatkan Ahameed Shareef dan keputusan 1-0 kekal selepas 45 minit pertama.
Bersambung babak kedua, penguasaan kekal menjadi milik Malaysia namun benteng pertahanan Sri Lanka begitu berdisiplin untuk menutup ruang buat pemain negara daripada melakukan percubaan berbahaya.
Ariff Safwan Safri menguji gawang Sri Lanka menerusi percubaan jarak jauh pada minit ke-84 tetapi percubaan itu dikekang Ahameed Shareef untuk memastikan dia tidak bolos buat kali kedua.
sumber:- BH
Mimpi ngeri Malaysia hadir pada minit ke-87 apabila tandukan lambung J Harish menewaskan Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa untuk gol pertama Sri Lanka pada kempen kelayakan kali ini.