Mungkin skuad bawah 19 tahun (B-19) negara menghancurkan harapan penyokong bola sepak tanah air untuk melihat mereka beraksi di pentas Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) namun aksi yang ditampilkan pasukan muda secara keseluruhan boleh dibanggakan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat skuad B-19 negara menunjukkan peningkatan positif terutamanya berhadapan dengan lawan yang memiliki reputasi lebih besar.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, skuad bimbingan Juan Torres Garrido sudah memperagakan aksi yang terbaik dan prestasi yang diberikan membuktikan betapa mereka mampu memberi saingan kepada pasukan yang lebih mantap.
“Tidak boleh dinafikan kualiti yang ada pada pasukan kali ini dan kita tidak boleh katakan teruk kerana pemain sudah serlahkan mereka mampu tampilkan aksi terbaik walaupun terpaksa berdepan lawan yang ada kelebihan fizikal.
Boleh dikatakan hanya nasib yang memisahkan harapan kita untuk layak tetapi kita juga sedar orang akan tetap mahukan keputusan. Sekarang kita tunggu pasukan pulang dan selepas itu kita akan minta laporan daripada jurulatih,” katanya.
Sebagai rekod, impian skuad B-19 untuk menempah slot ke Piala Asia B-20 2025 lebur selepas tumbang 1-0 di tangan Tajikistan pada aksi ketiga Kumpulan E di Stadium Republican Central, Jumaat lalu.
Jaringan di hujung babak kedua Khushkatov Dzhovidon membolehkan Tajikistan menghuni tangga kedua di belakang Korea Utara yang sudahpun mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E dengan 10 mata.
Meskipun boleh mengesahkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan E jika menewaskan Sri Lanka sambil mengharapkan Oman menewaskan Tajikistan pada aksi terakhir, namun itu tidak cukup untuk Malaysia mara selaku lima naib juara terbaik.
Ini kerana kemenangan ke atas Sri Lanka tidak akan dikira dalam penentuan lima naib juara terbaik dan itu meninggalkan Malaysia dengan peluang sukar apabila hanya mengutip empat mata.
sumber:- HM
Sebagai rekod, hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir di China, Februari tahun depan.